'Gadis Jolobu' tak serik cedera, tetap impi bermotosikal tawan dunia


  • Hobi
  • Rabu, 17 Ogos 2022

Ahirine bersama Tracer 900 Yamaha.

BAGI mereka yang dahagakan cabaran mental dan fizikal, ditambah dengan cinta pada keindahan alam sekitar, sukan pemotoran lasak merupakan hobi yang tepat buat mereka.

Ciri-ciri ini mendorong pemilik nama Ahirine Ahirudin untuk mula jatuh hati dengan sukan pemotoran yang dianggap sudah sebati dengan dirinya.

Menurut gadis berusia 26 tahun ini, minatnya dipupuk oleh bapanya sendiri, Datuk Ahirudin Attan yang sering memberi sokongan terhadap minatnya itu.

"Dulu setiap minggu, abah akan bagi kami adik-beradik naik motor dan dia duduk di belakang. Minat saya pada sukan pemotoran bermula dari situ.

"Waktu tu umur saya 16 tahun, saya mula belajar menunggang dengan menggunakan motor abang saya, Honda CRF250. Abah ajar kami bawa motor itu.

Ahirine menyimpan impian untuk mengelilingi dunia dengan menaiki motorsikal.

"Waktu usia saya dalam lingkungan 18 ke19 tahun, saya baru dapat lesen. Abah bagi saya tunggang motor Triump 900 miliknya dalam satu konvoi ke Johor.

"Kalau difikirkan kembali, saya kagum dengan kepercayaan abah terhadap saya untuk bawa motor berat. Saya pernah ikut abah konvoi ke Thailand, tapi masa itu saya hanya pembonceng.

"Ini bermaksud, saya tidak memiliki pengalaman menunggang offroad lagi ketika itu. Tapi dia benarkan saya bawa motor berat di kawasan kem yang jalannya tidak rata." katanya kepada Majoriti.

Menganggap kecederaan merupakan asam garam kepada sukan pemotoran, pelakon filem Gadis Jolobu itu mengakui kesakitan tidak pernah membuatnya serik untuk menunggang lagi.

Malah, pengalaman demi pengalaman yang ditimba sepanjang proses penungangan mengajarnya untuk cuba kurangkan risiko perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

Ahirine menunggang Yamaha 250 ketika berlumba dalam perlumbaan Supermotor.

"Masa latihan di Kampung Kemensah, Ampang Jaya, Selangor, saya menunggang Trial Bike yang tidak memiliki tempat duduk dan ringan.

"Sewaktu naik bukit, saya termasuk longkang. Saya terlepas bike tersebut dan dada saya terhentak pada rear ekzos.

"Pada masa itu, saya tidak pakai sebarang perlindungan di bahagian dada. Saya tidak boleh bernafas untuk tiga saat tapi selepas itu, saya rasa normal. Jadi, saya teruskan penunggangan.

"Dalam sebulan lepas saya sertai kelas Muay Thai dan latihannya perlukan senaman intensif. Dari situ saya mula rasa sakit di dada.

"Setelah menangung kesakitan selama tujuh bulan, saya pergi dapatkan rawatan doktor. Bila buat Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), baru saya tahu, ada radang pada sendi di bahagian sternum dada.

"Sampai sekarang saya masih menanggung sakit. Tapi saya tak serik," katanya yang turut mendapatkan pandangan kedua dari Institusi Jantung Negara (IJN) berhubung hal tersebut.

Menyentuh tentang impian, Ahirine mengakui kagum dengan kesungguhan bapanya berkonvoi selama tiga bulan bagi mengejarkan umrah suatu ketika dahulu.

"Saya ingin melakukan perkara yang sama, tapi saya ingin mengelilingi dunia macam kak Anita Yusof. Saya harap dapat lakukannya selepas umur 30 tahun.

"Sebab untuk impian tersebut, saya perlu ambil cuti panjang. Motor apa yang bakal jadi peneman saya? Masih awal untuk saya nyatakan," katanya.

Untuk mereka yang meminati sukan pemotoran lasak, ini adalah tip dari Ahirine.

Selain motorsikal, Ahirine juga gemar main go-kart.

1. Kalau nak main motorsikal, teruskan sahaja!

Jangan terlalu banyak fikirkan yang negatif. Memang lumrah akan cedera dan sebagainya, tapi itulah sebahagian daripada keseronokan hobi ini.

2. Sentiasa pakai alat pelindung.

Alat perlindung badan penting walaupun ketika latihan. Jangan ambil ringan soal ini. Kita tak tahu bila kemalangan boleh berlaku.

3. Lebih baik ambil kelas sebelum mulakan minat.

Secara peribadi, Ahirine menyertai Most Fun Gym di Damansara. Dekat sini, kita tak perlu lesen untuk memandu atau menunggang! Sesiapa sahaja boleh sertai seawal usia 6 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram