Lamar kekasih cara romantik, ini 5 selebriti lelaki gentleman buat ramai wanita 'cair'


  • Hiburan
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Beberapa selebriti lelaki yang dianggap gentleman kerana berani melamar pasangan dengan cara romantik.

SETIAP wanita semestinya mengimpikan seorang jejaka yang berjiwa romantik, penyayang dan budiman untuk dijadikan sebagai pasangan hidup.

Tiga kriteria itu doleh dianggap sebagai bonus sekiranya dimiliki oleh seseorang lelaki selain sifat tanggungjawab yang menjadi keutamaan dalam perhubungan.

Sikap romantis seseorang itu boleh dikenal pasti bermula daripada detik perkenalan hingga ke saat lamaran perkahwinan.

Tidak dinafikan adat perkahwinan Melayu sememangnya mempunyai cara tersendiri, namun jauh di sudut hati seorang wanita, mereka pastinya mahu melalui detik lamaran perkahwinan yang indah seperti dipertontonkan dalam filem.

Berikut Majoriti senaraikan lima selebriti lelaki tempatan 'gentle' yang membuat lamaran perkahwinan dengan cara romantik yang menjadi idaman wanita.

Awal Ashaari

Pelakon dan pengacara, Ahmad Awaluddin Ashaari atau lebih dikenali sebagai Awal Ashaari, 41, pernah membuat kejutan dengan melamar Scha Al-Yahya, 39, dalam set Propaganza yang bersiaran di Astro Ria pada tahun 2012.

Dalam lamaran itu, Awal menghadiahkan sebentuk cincin, sejambak bunga ros dan patung beruang sebesar manusia buat Scha yang kini telahpun bergelar isterinya.

Meskipun hanya muncul sebagai tetamu jemputan, Awal dikatakan enggan melepaskan peluang untuk membuat lamaran tersebut kerana tarikh 25 Mac merupakan ulang tahun percintaan mereka mencapai usia dua tahun.

Kedua pasangan itu selamat diijab kabulkan pada 4 Mei 2012 dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Hotel Pullman, Putrajaya.

Hairul Azreen

Final Gegar Vaganza musim kedua yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria menjadi detik manis buat selebriti Hanis Zalikha Zainal Rasid, 32, apabila Hairul Azreen Idris, 34, melamarnya depan khalayak ramai.

Melakukan aksi 'breakdance' dalam satu pertunjukan tarian, Hanis kemudiannya dijemput pengacara Nabil Ahmad dan Jehan Muse untuk naik ke pentas dan alangkah terkejutnya dia apabila Hairul bertindak meluahkan isi hatinya.

“Saya mahu awak jadi teman baik saya, saya mahu awak jadi rakan kongsi perniagaan saya dan saya mahu awak jadi isteri saya yang sah.

“Ini bukan cincin tunang, ini bukan cincin nikah, ini adalah cincin tanda awak setuju dengan lamaran ini. Sudikah awak menjadi isteri saya?” luah Hairul ketika lamaran itu.

Pasangan itu selamat disatukan sebagi suami isteri dengan mas kahwin berjumlah RM300 dan sebentuk cincin serta wang hantaran sebanyak RM91,019.90.

fizo

Fizo Omar

Pelakon Wan Hafizol Wan Omar atau lebih dikenali sebagai Fizo Omar, 37, turut tersenarai antara lima artis 'gentle' tanah air apabila melamar seorang usahawan kosmetik terkemuka, Mawar Abdul Karim, 33, di panggung wayang Cathay Cineleisure Mutiara Damansara, Selangor.

Momen indah itu terjadi susulan sebuah rakaman video pendek yang dibuat seminggu sebelum lamaran berlangsung.

Muncul secara mengejut dari arah belakang panggung, Fizo dilihat terus membuat lamaran dengan sebentuk cincin dan bunga ros merah sambil disaksikan beberapa pengamal media dan keluarga terdekat.

Bagaimanapun, hubungan mereka sebagai suami isteri yang dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Maryam, 5, tidak berpanjangan apabila berpisah pada 10 Julai 2019.

Mawar sah diceraikan dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor.

kamal

Kamal Adli

Pelakon dan pengacara Kamal Adli, 36, membuat kejutan apabila melamar kekasihnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen atau lebih dikenali sebagai Uqasha Senrose, 30, di hadapan tetamu dan penonton dalam Anugerah MeleTOP Era 2020.

Muncul sebagai penyampai anugerah ketika itu, satu detik manis dipaparkan kepada penonton apabila Kamal membuat lamaran secara terbuka dengan sebentuk cincin berlian tajaan Habib Jewels kepada buah hatinya.

Mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton di Axiata Arena Bukit Jalil, pelakon cantik berasal dari Kelantan itu menjawab 'yes' sebagai tanda setuju dengan lamaran tersebut.

Kisah percintaan mereka mula menjadi perhatian sejak digandingkan dalam drama 'Setelah Terlafaznya Akad' dan gosip itu diperkuatkan lagi apabila pengarah Michael Ang secara tidak sengaja memecah rahsia pasangan itu sudah mengikuti kursus perkahwinan di Pahang.

engku-emran

Engku Emran

Berita pernikahan Noor Nabila Mohd Noor, 38, dan Engku Emran Engku Zainal Abidin, 47, menjadi perhatian ramai apabila pasangan itu memuat naik gambar dan video lamaran di laman Instagram peribadi.

Membuat lamaran di belon udara panas, tulisan perkataan 'Nikoh Jom?' dilihat terbentang luas di permukaan tanah selepas beberapa minggu merancang segala persediaan lamaran tersebut.

Meskipun bukan dalam kalangan artis, Engku Emran boleh dianggap antara selebriti tempatan selepas namanya semakin meningkat naik menerusi perkahwinannya yang terdahulu bersama penyanyi dan pelakon terkenal, Erra Fazira, 48.

Nabila yang merupakan kakak kepada pelakon terkenal, Noor Neelofa, 33, sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Sharnaaz Ahmad, 37, namun berpisah pada 9 Julai 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram