PEPATAH Melayu pernah mengatakan, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya untuk menggambarkan susah payah yang perlu dihadapi sekiranya bercita-cita hendak mendapatkan sesuatu hasil yang bermakna.
Bagi seorang usahawan muda, Fathuddin Sarfaraz Ramli, kata-kata tersebut pastinya dipegang dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang cukup diminatinya itu.
Meskipun baru sahaja berusia 23 tahun, idea geliga dan percaturan yang bijak menjadikan mahasiswa daripada Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tersebut sebagai salah seorang usahawan berjaya.
Tambahnya, minat dalam bidang itu timbul sejak berada di bangku persekolahan itu adalah berpunca daripada sikapnya yang tidak mahu menambah bebanan kewangan keluarganya untuk membeli apa-apa barangan yang dikehendakinya.
"Asas memulakan perniagaan ini adalah kerana keluaraga saya ini bukanlah jenis yang berada. Jadi, apabila saya ketika itu di sekolah, saya hendak beli kasut atau permainan, saya mula sertai bidang keusahawanan ini," katanya kepada Majoriti.
Jelas ahli perniagaan berusia 23 tahun itu, ideanya untuk mengembangkan lagi syarikatnya datang apabila dia melihat orang ramai terkesan akibat pandemik Covid-19.
"Kemudian, apabila saya sudah besar, saya lihat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah 'turning point' dalam bidang ini kerana saya nampak ramai yang kehilangan kerja.
"Mungkin bagi mereka yang bekerja kerajaan, mereka tidak terlalu terkesan. Tetapi, bagi mereka yang dalam bidang swasta ini, mereka dihentikan kerja dan sebagainya," katanya.
Daripada hal itu, dia berhasrat untuk memperluaskan lagi syarikat miliknya, Qutaibah HQ yang berpaksikan penjualan dan percetakan pakaian serta manisan.
Peluang bertemu usahawan berjaya dilihat sebagai pencapaian terbesar buatnya. — Instagram/fathramli
Perkara itu adalah kerana dia mahu memberi peluang pekerjaan kepada orang ramai tanpa mengira latar belakang sambil mengharapkan lebih ramai usahawan daripada kalangan mahasiswa mampu dibentuk.
Selain itu, titik peluhnya itu jelas membawa kegembiraan apabila hasil jualan bulanannya dilihat berbaloi selain berjaya meraih pelbagai anugerah sehingga ke peringkat antarabangsa.
"Kalau hendak berkata mengenai jualan itu, pernahlah sehingga mencecah juta-juta itu. Anugerah pula, pernah juga dapat International Young Entrepreneur.
"Tetapi, sebenarnya yang paling penting pada saya adalah apabila saya dapat bertemu orang ramai dan membina hubungan bersama mereka itu," katanya.
Ia dilihat sebagai perkara yang penting dalam bidang perniagaan dengan hubungan bersama individu berpengaruh mampu menjadi medan dalam mengembangkan lagi kemampuannya.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila dia melihat peluang untuk mengenali lebih ramai tokoh keusahawanan sebagai pencapaian terbaiknya sepanjang bergelar usahawan.
Tambah Fathuddin, dia juga mempunyai mesej dan perkongsian kepada usahawan muda yang masih baharu dalam bidang tersebut, namun tidak mempunyai tunjuk ajar jelas.
"Pertama, jika hendak menjadi usahawan itu, kita kena mula. 'Sembang' dan hanya berkata-kata sahaja memang tidak cukup.
"Kedua, mereka perlu belajar dan biasakan diri dengan proses untuk berkembang itu. Kita pun perlu faham bahawa pada mulanya untuk meraih sehingga RM1 juta kutipan itu memang sukar," katanya.
Selain itu, dia juga mengingatkan sesiapa yang berminat untuk menceburi bidang itu tidak boleh melangkau mana-mana peringkat dan perlu bersabar ketika berdepan cabaran itu.
"Ada orang ini, mereka hanya mahu melangkau tempoh pembelajaran itu. Tetapi, hakikatnya, kita perlu belajar cara untuk menghasilkan RM1 sebelum boleh menghasilkan RM1 juta," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram