SEKIAN lama menyepi daripada dunia lakonan, Farhan Asri bakal membuat kemunculan tidak lama lagi di kaca televisyen apabila dia difahamkan baru sahaja selesai menjalani beberapa penggambaran drama.
Merupakan naib juara Hero Remaja 2017, pelakon kacak berasal dari Negeri Sembilan ini kini lebih matang dan enggan mengejar populariti semata-mata sebaliknya ingin fokus untuk melangkah lebih jauh lagi dalam dunia hiburan tanah air.
Meskipun kurang dikenali jika dibandingkan dengan artis lain yang seangkatan dengannya seperti Haris Anuar, Ikmal Amry dan Nabil Auril, Farhan juga enggan terkecuali daripada menjadi sebutan ramai apabila ingin lebih dikenali dengan bakat lakonannya.
Mengalami masalah gangguan serangan 'anxiety' baru-baru ini, Farhan dikatakan baru sahaja selesai menjalani rawatan pemulihan di pusat rawatan dan kini lebih bersedia dengan segala ujian dan tekanan yang bakal ditempuh.
Farhan Asri berharap imej baharu ditampilkan mampu membawa sinar kejayaan buat dirinya. — Instagram/farhanasrii
Tampil dengan imej baharu yang lebih maskulin, gaya 'botak' yang dibawa diharap bakal membawa tuah dan rezeki yang melimpah padanya berikutan tahap kesihatannya yang semakin pulih.
Menurutnya, dia kini telah selesai menjalani beberapa penggambaran drama terbitan Media Prima dan sedang menanti untuk ditayangkan di kaca televisyen tidak lama lagi.
"Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran dan boleh dikatakan ada dalam tiga sehingga lima buah drama yang masih belum lagi ditayangkan.
"Tidak muncul di televisyen bukan bermakna saya sudah berhenti berkarya atau tiada tawaran berlakon, tetapi saya sibuk di set penggambaran dan enggan membongkar rahsia lakonan.
"Kalau dulu saya mungkin akan kongsikan segala perkembangan di media sosial tapi sekarang lebih suka berdiam diri dan enggan terlampau kecoh menjaja cerita sebab bukan semua orang akan suka kalau kita buat macam itu," katanya kepada Majoriti.
Sedar akan kehadiran beberapa nama artis baharu yang semakin meningkat naik, Farhan enggan mengulas lanjut berkenaan hal itu sebaliknya mahu orang ramai terus memberikan sokongan kepada industri seni negara tanpa mengira siapa pun yang bakal menyinar.
"Saya tiada perasaan dengki ataupun iri hati dengan mana-mana pelakon baharu kerana ia merupakan detik yang akan dilalui oleh semua yang bergelar artis.
"Dulu saya pun pernah meningkat naik jadi saya tidak kisah dan sentiasa menyokong mereka walau apa pun yang berlaku dan saya yakin rezeki saya pasti menyusul tidak lama lagi," jelasnya.
Baru sahaja menandatangani kontrak bersama syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment, Farhan menganggap ia merupakan perkembangan terbaik buat dirinya dan juga peminat kerana bakal mengorak langkah lebih jauh di bawah naungan syarikat tersebut.
Menurutnya, ada beberapa projek dan tawaran lakonan sedang dalam perbincangan bersama pihak syarikat namun segalanya masih di peringkat awal untuk dikongsikan buat masa ini.
Berkongsi mengenai perkembangan terkini, pelakon yang pernah membintangi drama bersiri Cik Reen Encik Ngok Ngek itu kini gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi dan sering menjelajah bersama rakan kelab Nismilan Riders (motobosi) dari Negeri Sembilan.
"Saya memang minat menunggang motosikal sejak dari dahulu lagi dan sekarang baru berpeluang untuk merasai pengalaman menjelajah bersama kelab motosikal motobosi.
"Sekiranya ada masa terluang, saya dan rakan-rakan kelab akan konvoi beramai-ramai ke beberapa buah lokasi dan ia sangat menyeronokkan apabila masing-masing berkongsi minat dan hobi yang sama," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram