Pengurus restoran pecah amanah, ganjaran RM2,000 cekup si pesalah


  • Tular
  • Jumaat, 09 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan rakaman video (CCTV) yang memaparkan kejadian kes kecurian di Streeto Pizza.

RESTORAN makan Streeto Pizza, cawangan Batu Kawan, Seberang Perai, Pulau Pinang mengalami kerugian sebanyak RM45,000 apabila pengurus premis itu didakwa melarikan duit dari peti wang besi.

Sehubungan itu, pihak pengurusan restoran menawarkan ganjaran wang RM2,000 kepada sesiapa yang dapat mengembalikan individu tersebut.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran memaparkan kejadian kecurian itu.

Meskipun beberapa kali cuba untuk menjejaki, pihak restoran dikatakan gagal untuk menemukan individu berkenaan kerana alamat rumah serta nombor telefon yang direkodkan adalah palsu.

Mohd Syazwi Noorazli, 21 tahun, yang merupakan penolong pengurus Streeto Pizza berkata, individu tersebut telah menukar nombor telefon yang digunakan dan alamat rumah serta latar belakang yang diberikan tidak dapat dijejaki.

"Selepas kejadian itu, saya ada cuba untuk menghubungi dia namun nombor yang biasa digunakan sudah tidak dapat dihubungi dan alamat rumah diberi juga salah.

"Pernah sekali atau dua kali sahaja saya telefon dia angkat dan selepas itu dia sudah tukar nombor lain," katanya kepada Majoriti.

Tangkap layar menunjukkan individu yang didakwa melarikan wang berjumlah RM45,000 dari restoran Streeto Pizza. — Facebook/Streeto Pizza

Mohd Syazwi juga berkata dia pernah bertanya kepada suspek tentang punca dia bertindak sedemikian.

Difahamkan, individu yang didakwa mencuri itu telah kematian bapa pada hari kejadian dan memerlukan wang tersebut bagi menampung kos perbelanjaan.

"Saya ada minta alamat kubur bapanya untuk menziarah namun bila tiba sahaja di tanah perkuburan, tiada kes kematian yang dilaporkan petugas di situ.

"Sekali lagi saya ditipu dan ternyata dia memang sengaja mencuri dan setelah membuat kajian di Facebook, ramai mangsa yang turut menerima nasib sama apabila wang mereka juga pernah dilarikan oleh individu tersebut," jelasnya.

Individu bernama Muhammad Shah Adli Amirudin kini menjadi tumpuan warganet apabila butir peribadi dan gambarnya telah dimuat naik di laman Facebook Streeto Pizza.

Setakat ini, laporan polis telah dibuat dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menjejaki suspek.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram