IMPIAN seorang remaja untuk menjadi askar kian kabur apabila dia kini mengalami kecacatan kekal selepas terlibat dalam satu kemalangan langgar lari di jalan raya sekitar Mantin, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Berbaki seminggu sebelum menjalani ujian akhir untuk bergelar seorang askar, remaja berkenaan kini reda dengan nasib malang yang menimpa dirinya apabila terpaksa berehat panjang di rumah.
Mangsa, Mohd Hail Hadi, 19, dilaporkan mengalami kecacatan selepas jari kelingkingnya putus akibat daripada pelanggaran tersebut.
Dikongsikan menerusi laman Facebook, rakaman video serta kronologi kes berkenaan dimuat naik oleh akaun bapanya.
Difahamkan ketika kejadian, Hail sedang dalam perjalanan untuk ke pusat lesen memandu kereta bagi menghadiri kelas yang ditetapkan.
Namun, kemalangan menimpa dirinya apabila sebuah kenderaan lori membuat pusingan U secara tiba-tiba dan menyebabkan kenderaan itu berselisih dengannya dari arah hadapan.
Gagal mengawal keadaan, mangsa yang menunggang motosikal itu dilihat hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan sebelah kanan sehingga tercampak daripada motosikalnya.
Meskipun masih boleh berdiri dan bangun, mangsa kemudiannya pitam di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke klinik kesihatan berhampiran oleh pemandu lain yang berada di situ.
Menurut bapanya, Muhammad Faizal, 47, dia yang menerima panggilan kecemasan dari klinik berhubung kejadian itu terus membawa anaknya ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Ketika kejadian, anak saya sudah tidak sedarkan diri dan terus dibawa ke Hospital Kajang selepas diarahkan oleh pihak klinik.
"Anak saya sepatutnya akan menduduki ujian peringkat akhir sebelum layak bergelar seorang askar namun lain pula jadinya dan ini sangat menyedihkan bagi kami sekeluarga.
"Menunggang motosikal untuk pergi ke pusat latihan memandu, anak saya tidak dapat mengelak daripada pelanggaran itu kerana lori berkenaan tiba-tiba memasuki jalan dia dan menyebabkan dia terhuyung-hayang sebelum terjatuh daripada motosikal," katanya kepada Majoriti.
Paling menyedihkan, remaja itu terpaksa melupakan niatnya untuk berkhidmat sebagai askar negara apabila dimaklumkan doktor mengenai jari tangannya yang patah dan putus.
Sedih dengan situasi berkenaan, suspek yang menjadi punca kepada kemalangan itu juga sehingga kini melarikan diri sebaik melihat kejadian tersebut.
"Suspek yang membawa lori pada awalnya turun untuk melihat keadaan anak saya namun terus beredar selepas anak saya pengsan.
"Sekurang-kurangnya berhentilah dan bertanggungjawab atas apa yang dilakukan, anak saya jadi mangsa langgar lari dan kini kehilangan jari akibat perbuatan pemandu tidak bertanggungjawab itu.
"Saya berharap agar video ini tular dan orang ramai yang memiliki nombor pendaftaran lori tersebut sila maklumkan kepada saya dengan segera untuk mendapatkan keadilan bagi pihak anak saya," katanya.
Muhammad Faizal berkata, laporan pihak polis telah dibuat, namun dan setakat ini masih belum ada sebarang maklumat lanjut mengenai pemandu lori tersebut dengan siasatan sedang giat dijalankan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram