Peragut RM20 lembik kena ganyang, dihambat warga Miri


  • Tular
  • Rabu, 14 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki dipercayai penganggur ditahan selepas cuba meragut beg tangan wanita di Miri.

VIDEO tular seorang lelaki yang ditangkap orang ramai selepas cubaannya untuk meragut beg tangan wanita ditangkap orang ramai di Taman Tunku Miri, Sarawak pada Isnin rupa-rupanya telah dituduh di Mahkamah Sesyen Miri pada Rabu.

Suspek, Wencesles Lenjau John, 22, yang dikatakan penganggur terlebih dulu dilaporkan bertindak meragut sebuah beg tangan yang mengandungi sekeping kad pengenalan dan wang tunai RM20 milik seorang wanita berhampiran restoran di kawasan itu.

Rakaman kejadian itu mula tular di laman Facebook sejak Rabu apabila dia diikat dan dikawal rapi oleh salah seorang penduduk di kawasan berkenaan.

Gagal melarikan diri, suspek terlebih dahulu berjaya ditahan dan dipukul orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Tertuduh dilaporkan dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Seksyen gara-gara kegiatan jenayahnya itu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Amir Shah Amir Hassan setelah meneliti beberapa perkara termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes serta kesalahan berat yang dilakukannya.

Menjengah ke ruangan komen, warganet turut meluahkan kecaman berikutan kejadian itu.

Limbai Nyaod Tumog berkata, lelaki itu sepatutnya mencari pekerjaan yang halal kerana memiliki tubuh badan yang sihat serta masih siuman.

"Saya fikir dia cacat ataupun orang kurang upaya tapi rupa-rupanya masih sihat dan boleh berjalan, jadi kenapa perlu meragut, lebih baik cari pekerjaan walaupun gaji tak seberapa tidak mengapa asalkan ia halal," katanya.

"Sekarang gaji minimum RM1,500 tetapi masih ada lagi yang memilih pekerjaan menyusahkan orang lain," tambah Jimmie Nuing Jr.

"Orang macam ni memang patut diserahkan kepada pihak polis segera, biar mereka uruskan kalau tidak mereka tidak akan pernah serik," jelas Johny Onny.

Suspek berasal dari Long Palai, Baram itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang menjatuhkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asfa Jannah Mohamad Ariff Irwani dan mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram