Isu Felda Sungai Klah berlarutan, timbul pula hal duit tabung tanam semula gagal ditebus


  • Tular
  • Rabu, 14 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan pengurusi (PKPKM), Rostam Mohd Ramli menunjukkan beberapa laluan utama yang terjejas berikutan tidak diselenggara dengan baik oleh pihak Felda.

BELUM reda dengan isu laluan berlubang di kawasan Felda Sungai Klah, Perak, peneroka sawit di situ turut membangkitkan hal berkenaan pampasan duit tabung tanam semula yang gagal ditebus.

Isu berkenaan yang dihadapi bertahun lamanya semakin meruncing apabila beberapa peneroka tidak sanggup lagi menahan kemarahan berikutan kegagalan mendapatkan duit tebusan milik mereka.

Aduan itu disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Rostam Mohd Ramli.

Menurutnya, isu berkenaan semakin mendapat perhatian dalam kalangan peneroka di kawasan terbabit berikutan tiada tindakan yang diambil oleh pihak pengurusan Felda berhubung isu tersebut.

Antara masalah yang berbangkit adalah peneroka tidak dapat menebus duit simpanan mereka di tabung tanam semula meskipun sudah tamat tempoh penantian yang ditetapkan.

Wang itu sepatutnya boleh ditebus selepas tempoh 25 tahun namun kebelakangan ini semakin banyak isu dan syarat yang ditetapkan pihak pengurusan.

"Duit itu semuanya milik peneroka dan bukannya hak pengurusan Felda untuk simpan dan halang ia daripada dimiliki.

"Sekarang ada syarat baharu mengatakan sekiranya ingin menebus pampasan, peneroka perlu menebang kesemua tanaman sawit terlebih dahulu sebelum boleh menjalankan urusan penebusan.

"Masalahnya kami tiada modal untuk berbuat sedemikian dan sepatutnya duit itu sedikit sebanyak boleh membantu ramai peneroka di sini menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan ataupun proses menebang," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, segala hasil penat lelah peneroka berkhidmat di bawah pengurusan Felda sepatutnya dibalas dengan setimpal bukannya dipermainkan sebegini.

"Potongan duit yang dilakukan bukan sedikit, ia bergantung kepada nilai berat buah sawit dan boleh mencecah sehingga RM100 sebulan.

"Meskipun beberapa kali membuat aduan berkenaan isu terbabit, kami masih belum menerima sebarang maklum balas dan tindakan daripada pihak atasan," jelasnya.

Bagaimanapun setakat ini pihak pengurusan Felda belum memberi maklum balas berkaitan isu pampasan tanam semula itu.

Mengenai hal laluan berlubang di Felda Sungai Klan, pegawai ladang berkenaan, Zul Azri berkata, segala aduan berkenaan isu jalan berlubang di kawasan terbabit telah diterima dan kerja membaik pulih kini sedang dijalankan.

"Pihak kami maklum berkenaan hal itu dan beberapa pegawai telah ditugaskan untuk menjalankan kerja baik pulih di laluan tersebut.

"Beberapa laluan utama telah dibaiki dan tinggal beberapa bahagian sahaja lagi yang masih belum selesai," tambahnya. - Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram