Jalan 'neraka' di Sabah makan modal, ancam keselamatan pemandu


  • Tular
  • Selasa, 13 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan sebuah kenderaan terpaksa berhenti di tepi jalan akibat tayar pecah dan rim bengkok.

ISU jalan berlubang dan tidak rata merupakan perkara paling dibenci serta ditakuti para pemandu kerana boleh menyebabkan kemalangan dan kecederaan kepada orang awam selain merosakkan kenderaan.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi perkongsian orang ramai tentang keadaan jalan raya di laluan menghala ke Pekan Telipok, Kota Kinabalu, Sabah apabila beberapa buah kenderaan tersadai di tengah-tengah jalan berikutan kerosakan tayar yang dihadapi.

Sebagai laluan utama digunakan orang awam menuju ke pusat bandar, jalan tersebut dikatakan masih dalam keadaan yang tidak memuaskan dan berlubang teruk sehingga mendatangkan masalah kepada pemandu.

Dikongsikan di laman TikTok, rakaman itu menunjukkan rata-rata pemandu terpaksa berhentikan kenderaan di tepi jalan akibat tayar bocor.

Selain itu, ketiadaan lampu jalan juga dipersoalkanorang awam berikutan soal keselamatan mereka yang sentiasa terancam.

Antara masalah lain yang turut dibangkitkan adalah takungan air banjir, proses menaik taraf yang lambat, kerosakan kenderaan awam dan kesesakan trafik.

Menerima lebih 65,000 jumlah tontonan di TikTok, masing-masing meluahkan kemarahan berkenaan isu terbabit.

Son Goku berkata, lampu jalan perlu dipasang segera bagi mengelak sebarang kemalangan serius berlaku di laluan itu.

"Keselamatan pemandu di sini memang bahaya, kalau nak naik taraf jalan pun sekurang-kurangnya lampu jalan perlu dipasang ataupun letakkan lampu amaran di selekoh merbahaya," katanya.

"Betul jalan di situ memang teruk, tayar saya sampai dua biji pecah dan rim bengkok, memang geram dan marah perasaan ketika itu," tambahcastello660.

"Saya pun pernah termasuk dalam lubang semasa memandu di sana, jalan gelap dan berlubang teruk, garisan di jalan raya pun agak mengelirukan terutamanya ketika hujan lebat," jelas Aaeesha Sazlyn.

Rata-ratanya turut menggesa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk segera mengambil tindakan berhubung isu tersebut sebelum lebih banyak kerosakan kereta dialami. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram