Peneroka Felda 'sakit kepala', bayar cukai tapi jalan masih berlubang teruk


  • Tular
  • Rabu, 14 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan laluan utama di kawasan Felda Sungai Klah, Sungkai, Perak yang didakwa tidak dibaik pulih oleh pihak pengurusan Felda.

SETIAP pekebun dan peneroka Felda pastinya menginginkan setiap aktiviti pertanian mereka berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah terutamanya daripada segi pengurusan dan penyelenggaraan di kawasan ladang.

Namun, masalah itu dilihat semakin meruncing apabila kebanyakan peneroka Felda difahamkan mengalami masalah di ladang sawit mereka apabila laluan keluar masuk ke kawasan itu tidak diuruskan dengan baik oleh pihak pengurusan.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi perkongsian di laman TikTok @PKPKM_NASH yang memaparkan keluhan salah seorang peneroka ladang sawit di Sungai Klah, Sungkai Perak yang kecewa dengan nasib menimpa ladangnya.

Difahamkan, masalah itu menyukarkan pergerakan keluar masuk lori sawit berikutan jalan yang terlampau teruk dan boleh mengakibatkan tayar lori tersangkut sekiranya melalui kawasan tersebut.

Menurut salah seorang peneroka di situ, Rostam Mohd Ramli, segala kos penyelenggaraan telahpun dibayar namun kerja-kerja membaik pulih didakwa tidak dijalankan oleh pihak Felda.

"Jalan utama macam ni tak boleh nak lalu, kalau lori enam tayar nak jalan memang tak akan lepas sebab jalan terlampau teruk.

"Jalan ini sepatutnya diuruskan oleh Felda melalui potongan sebanyak RM20 setiap bulan tapi sampai sekarang tiada tindakan daripada mereka," dakwanya.

Tambahnya lagi, pihak peneroka terpaksa mengambil jalan alternatif apabila perlu membayar pengangkutan lori dengan harga mahal sebanyak RM100 bersamaan satu tan kelapa sawit kerana menggunakan jalan luar yang jauh.

"Jalan teruk macam ni memang lori tak mahu lalu, lepas tu kita perlu bayar lebih pula sebab dia ikut laluan luar dan harganya jauh lebih mahal daripada yang sepatutnya.

"Kena bayar minyak, cukai jalan lagi walaupun sebenarnya ada laluan yang lebih dekat tapi tak dapat digunakan," jelasnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peneroka Felda di kawasan lain turut menerima nasib yang sama dilalui Rostam.

"Felda Gunung Besout juga terima nasib yang sama, setiap bulan kami bayar cukai jalan pertanian tapi satu tindakan pun tidak dijalankan," kata kuihkoci_.

"Mana-mana Felda pun sama sahaja, semua ada masalah yang sama walaupun cukai telah dibayar," tambah suamiORANG.

"Peneroka Felda masih suka menindas peneroka sejak bertahun lagi, apabila peneroka bersuara nanti akan ada tindakan undang-undang dikenakan kepada kami," jelas Fidaiyyin.

Majoriti sedang mendapatkan respons Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia berhubung dakwaan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram