MENYUSURI hutan belantara demi mendokumentasi kehidupan masyarakat Orang Asli suku Bateq yang tinggal jauh dari pandangan masyarakat umum sudah menjadi rutin buat seorang jurufoto dari Terengganu, Suzairi Zakaria.
Jurufoto berusia 45 tahun tersebut mula mendapat inspirasi untuk menjelajah hutan bagi merakam khazanah flora dan fauna kerana berang dengan aktiviti pembalakkan yang berlaku di hutan-hutan di Malaysia.
Menurut Suzairi atau lebih dikenali sebagai digitaldome di Instagram, dirinya mula didedahkan dengan foto-foto Orang Asli oleh kartunis Gila-Gila, Jaafar Taib semasa mereka bersama-sama merakam foto di Tasik Kenyir, Terengganu pada tahun 2008.
Suzairi mahu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai impak aktiviti pembalakan terhadap kehidupan Orang Asli. — Instagram
Sejak itu, Suzairi mula tertarik untuk mendekati dan merakam kehidupan Orang Asli dan galakan dari Jaafar Taib menambahkan lagi semangatnya itu.
"Sewaktu di Tasik Kenyir, Pak Jaafar tunjuk kepada saya, foto Orang Asli dari Royal Belum yang beliau rakam dan dari situ saya rasa sangat tertarik untuk mendekati dan merakamnya juga.
"Pak Jaafar berikan galakan kerana waktu itu sangat jarang untuk jurugambar merakam foto-foto Orang Asli. Memandangkan cara hidup tradisional mereka pasti semakin lama semakin berubah, banyak budaya dan ilmu pengetahuan akan pudar, jadi ini membuatkan saya bersemangat untuk mendokumentasikannya.
"Walaupun pada awalnya saya lebih tertumpu kepada merakam foto dalam bentuk potrait, tetapi lama kelamaan saya kembangkan dengan merakam cara hidup mereka iaitu apa yang mereka makan dari hutan, pokok-pokok herba yang mereka pakai sebagai ubatan, bunga-bungaan hutan yang mereka pakai untuk berhias dan sebagainya," katanya kepada Majoriti.
Mengimbau pengalaman pertama kali bertemu Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan, Suzairi akui sukar untuk mendekati mereka kerana kebanyakannya pemalu terutama apabila berhadapan dengan orang luar.
Suzairi (tengah) kini boleh 'lepak' bersama Orang Asli. — Instagram
Namun dengan keazaman yang mendalam, Suzairi sanggup menghabiskan masa lima tahun untuk cuba dekati mereka dengan pelbagai cara termasuklah mempelajari bahasa suku tersebut.
"Kartunis Ujang, Ibrahim Anon yang turut bersama kami ke Tasir Kenyir mencadangkan saya ke Kuala Koh. Ibrahim ini seorang pemancing tegar dan beliau biasa pergi memancing di Kuala Koh, beliau maklum kepada saya bahawa di sana ada perkampungan Orang Asli Bateq.
"Dalam tahun 2009, saya mula pergi ke Kuala Koh dan apabila sampai disana kebanyakan mereka tidak menghiraukan kehadiran saya. Ada yang lari serta menghilangkan diri, ada yang membuat kerja sendiri.
"Ada masa itu, Tok Batin tiada di kampung kerana masuk hutan, jadi saya tak dapat nak merakam foto. Penduduk di sana perlukan keizinan dari Tok Batin terlebih dahulu.
"Saya tunggu hingga ke sebelah petang barulah Tok Batin balik dan saya bertemu beliau, lalu menyatakan hasrat saya. Walaupun mendapat keizinan, itu bukan lesen besar kerana sifat malu semula jadi Orang Asli terhadap orang luar menjadikan perkara itu satu batas dan cabaran.
"Bagi kunjungan pertama tak banyak foto yang dapat dirakam. Ada juga antara mereka yang mengelak dari dirakam. Ada yang tidak mahu foto bayi mereka dirakam kerana percaya akan menyebabkan bayi itu akan mengigau ketika tidur.
"Kemudian selang tak lama dari kunjungan pertama, saya ke sana lagi dan semakin lama semakin kerap sehingga mereka menerima kehadiran saya sebagai keluarga.
"Boleh katakan pada awalnya, pengetahuan saya mengenai Orang Asli agak cetek. Kerana apabila Google, tak banyak maklumat atau foto ketika itu, saya hanya berpandukan cerita dan maklumat dari Pak Jaafar Taib sahaja.
"Jadi, saya memang tiada pemikiran negatif terhadap mereka," katanya yang kini sedang mengumpul gambar-gambar Orang Asli hasil bedikkannya untuk diterbitkan sebagai sebuah buku.
Bagi mereka yang ingin cuba mendekati Orang Asli, Suzairi turut menyimpan hajat untuk membuat satu program bersama Orang Asli dan membuka peluang kepada orang ramai menyertainya.
Potret seorang gadis Orang Asli bernama Pideng yang maut kerana penyakit misteri dan sehingga kini belum mendapat penjelasan pihak berkuasa. — Instagram
Namun, sebelum itu, Suzairi menitipkan beberapa pesanan buat mereka yang mahu masuk hutan dengan tujuan sama.
1. Lumrah berkenalan dengan orang baru, perlu beradab
Untuk mendekati orang Asli ini, kita perlu kesabaran yang tinggi dan jangan cepat berputus asa walaupun kadangkala perancangan tidak berlaku seperti diharapkan. Jangan letakkan tembok pemisah antara kita dengan Orang Asli, bergaul dengan mereka dan fahami serta selami masalah mereka.
- Perlu ada tanggungjawab sosial
Jangan semata-mata menjadikan mereka sebagai subjek untuk dirakam tetapi bantulah mereka juga. Lagi bagus kalau dapat gunakan foto yang dirakam sebagai "awareness" kepada masyarakat tentang kehidupan dan masalah-masalah mereka.
Hormati hak mereka, ada sesetengah foto yang dirakam tidak boleh disiarkan untuk tontonan awam. Jaga sensitiviti seperti percakapan dan perbuatan kita supaya tidak menyingung perasaan mereka.
- Sediakan bekalan bila masuk hutan
Apabila masuk hutan, ada banyak kemungkinan yang boleh berlaku. Oleh itu, Suzairi akan membawa beras, ikan bilis, gandum, kunyit, garam dan sebagainya. Dalam hutan, boleh tangkap ikan atau kutip kulat buat lauk. Dari segi peralatan pula,parang, lighter, hammock antara perkara wajib dibawa walaupun hanya masuk hutan untuk jangka masa sehari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram