Pura-pura tanya alamat sebelum samun telefon bimbit, 2 lelaki teruk kena belasah


  • Benua
  • Rabu, 24 Ogos 2022

Kedua-dua suspek ditangkap kelihatan menahan kesakitan selepas dibelasah orang awam. — Agensi

TULAH menimpa dua lelaki apabila dibelasah orang awam, selepas melakukan jenayah samun.

Video mengenai tangkapan dan soal siasat ke atas suspek tular di media sosial termasuk di aplikasi WhatsApp.

Menerusi video berdurasi 30 saat tersebut, orang awam menyoal siasat suspek menggunakan loghat tempatan masyarakat Madura.

Suspek yang memakai seluar jeans dan baju lengan panjang juga dilihat meminta air kepada orang awam.

Sementara dalam video lain, suspek dilihat terbaring dan tidak berdaya berhampiran tiang elektrik.

Ketua Polis Siasatan Jenayah Bangkalan Ajun, Bangkit Dananjaya mengesahkan video tersebut berlaku di kawasannya iaitu di daerah Sepulu, Bangkalan Madura, dekat Jawa Timur, Indonesia.

"Betul, ia terjadi di Sepulu dan ada dua penyamun.

"Tiada siapa yang mati, mereka masih dirawat di klinik kesihatan Sepulu," kata Bangkit.

Jelas Bangkit, kejadian bermula apabila seorang pelajar sedang menelefon rakannya menggunakan telefon bimbit miliknya.

Tidak semena-mena, katanya, kedua-dua suspek yang menaiki motosikal datang menghampirinya dengan alasan, kononnya mahu bertanyakan satu alamat.

"Suspek tiba-tiba merampas telefon bimbit mangsa dan bergegas meninggalkan lokasi kejadian.

"Mangsa kemudian mengadu kepada bapa saudaranya yang kebetulan lalu di tempat kejadian. Mangsa memberitahu ciri-ciri suspek dan mengatakan suspek menuju ke arah timur," kata Bangkit.

Berang dengan perkara itu, katanya, bapa saudara mangsa dan orang awam terus mengejar kedua-dua suspek.

Ketika suspek ditemui, mereka bertindak membelasah suspek sebelum pihak polis tiba di lokasi.

"Kami merampas beberapa barang bukti termasuk sebilah pisau milik suspek, kunci dan telefon bimbit mangsa," tambah Bangkit.

Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram