SATU ketika dahulu, penyanyi Zizi Kirana cukup dikenali dengan lirik lagu yang nakal dan sering tampil dengan persembahan yang cukup agresif.
Namun, tampil dengan imej berhijab dan kini membawa gelaran sebagai seorang isteri, Zizi mengakui perkara itu sudah mula dilupakannya.
Menurut penyanyi lagu Eh ini, apa yang dilakukannya kini lebih berhati-hati sesuai dengan imejnya.
"Memang sekarang saya berhati-hati. Setiap kali keluar rumah, saya kena ingatkan diri bahawa saya membawa maruah suami.
Zizi Kirana menjaga batasnya selepas berhijab dan bergelar isteri.
"Jadi saya kena jaga batas yang ada ada. Batas itu termasuklah dalam persembahan dan lagu yang saya bawakan.
"Sebab itu saya mahu lirik lagu saya menggunakan perkataan yang lebih elok. Kalau persembahan pun sama. Tidak lagi nak menari bersungguh-sungguh seperti dahulu," katanya kepada Majoriti.
Jelas Zizi lagi, dia juga enggan menyanyikan beberapa lagu lamanya yang dirasakan tidak sesuai untuk dibawakannya.
Namun bekas peserta rancangan realiti televisyen Indonesia, D'Academy Asia ini berkata, dia tidak menghalang jika ada penyanyi lain yang mahu menyanyikan lagu tersebut.
Zizi Kirana bersama suaminya, Yusuf Bahrin.
Ditanya sama ada tindakan Zizi itu ibarat petanda dia mahu menamatkan karier nyanyiannya, jelas isteri kepada Yusuf Bahrin ini, perkara itu tidak terlintas di kepalanya.
"Sebenarnya sejak kecil lagi memang saya suka menyanyi. Malah, selepas berhijab dan berkahwin, suami memberi sokongan untuk karier nyanyian saya.
"Kalau saya nak menyanyi sampai tua pun dia ok. Tetapi dia pesan biarlah lagu yang saya dendangkan sesuai dan membawa kebaikan.
"Jadi saya berpegang kepada itu dan buat masa ini, saya akan terus menyanyi," katanya yang berhasrat untuk tampil dengan satu album pada tahun depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram