Lelaki tak waras mengamuk di tokong Balik Pulau ditahan reman


  • 112
  • Ahad, 21 Ogos 2022

Tangkap layar video lelaki tidak waras mengamuk di sebuah tokong tular di media sosial baru-baru ini.

AKIBAT melakukan kerosakan pada harta benda sebuah tokong, seorang penganggur yang dipercayai tidak waras ditahan selepas video berhubung perkara itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Balik Pulau, Superitendan Kamarul Rizal Jenal berkata, polis dimaklumkan mengenai perkara itu pada pagi Ahad, selepas dua video tular memaparkan suspek berusia 28 tahun itu berkelakuan buruk di kawasan tokong.

"Sebuah video berdurasi 47 saat, manakala satu lagi berdurasi 21 saat menunjukkan dia melakukan pelbagai kelakuan.

"Kejadian berlaku pada Sabtu, kira-kira pukul 6.30 petang di sebuah tokong di Batu Itam, Balik Pulau (Pulau Pinang).

"Suspek telah ditahan dan dipercayai tidak waras. Dia juga ditahan reman selama empat hari sehingga 24 Ogos untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan tempat ibadat dengan niat menghina mana-mana agama terlibat, serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, yang sekali gus menyebabkan kerugian atau kerosakan.

"Kami ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu kerana ia mungkin mengganggu siasatan polis," katanya.

Terdahulu, video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki yang berpakaian kemeja lengan panjang berwarna kuning, seluar jeans dan membawa beg galas bertindak membaling kerusi plastik, meja kayu dan bangku kayu ke atas lantai.

Dalam kejadian yang berlaku di kawasan tokong itu, perabot dibaling dilihat pecah, selain individu yang merakam perkara itu mempersoalkan sama ada lelaki tersebut tidak waras.

Suspek juga dilihat melempar bahagian kerusi plastik yang patah ke pintu masuk kuil, yang ditutup dengan pintu gril.

Dia kemudian dilihat membuka zip seluar dan kencing di pintu utama tokong yang ditutup. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram