SEORANG wanita China ditahan dan dikasari oleh pihak polis tempatan kerana menggayakan pakaian tradisional Jepun seperti watak dalam sebuah komik pada Rabu (10 Ogos).
Gadis China tersebut sedang mengambil gambar dirinya yang berpakaian kimono sebelum ditahan oleh polis Suzhou, China atas sebab ‘memulakan pembalahan’ dan ‘mencetuskan masalah’.
Video berkenaan tular di media sosial China pada minggu tersebut yang mana menunjukkan beberapa polis tempatan sedang bercakap dengan seorang gadis.
Mereka menengking gadis itu kerana memakai kimono yang disifatkan sebagai satu tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh warga China.
Rakaman video itu terhenti ketika wanita tersebut dibawa pergi oleh pihak polis.
Insiden tersebut berlaku pada 10 Ogos berdekatan Jalan Huaihai di Daerah Baharu Suzhou, China yang dikenali dengan nama “Little Tokyo” disebabkan kawasan tersebut menempatkan banyak perusahaan dan restoran Jepun.
Gadis tersebut dahulunya aktif di laman Weibo, dia dikenali sebagai seorang cosplayer yang suka berpakaian seperti watak kisah fiksyen.
Pada hari kejadian, dia mengenakan pakaian seperti Ushio Kofune yang merupakan watak daripada sebuah manga bersiri, Summer Time Rendering. Gadis itu bertindak memakai sejenis kimono kapas yang biasa dipakai pada musim panas, dikenali sebagai Yukata.
Selepas dia mengambil beberapa gambar untuk menyerupai satu babak daripada kisah fiksyen tersebut sambil menunggu pesanan takoyaki daripada gerai tempatan ketika pihak polis menghampirinya lalu menahan gadis tersebut.
Menurut hantaran media sosial yang dimuat naik oleh gadis itu, dia dilepaskan daripada balai polis lima jam kemudian selepas ‘disekolahkan’ dan kandungan telefonnya diperiksa oleh pihak polis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram