Sedia awal naik Liga Super, 3 pemain Jang Hobin dalam radar TRW


  • Podium
  • Ahad, 21 Ogos 2022

Kelantan kini kekal sebagai pendahulu Liga Perdana dengan 35 mata. — Facebook Kelantan FC

SELEPAS mendapat suntikan tajaan daripada beberapa penaja, nampaknya Kelantan FC terus melakukan persediaan untuk kembali ke dalam kancah Liga Super musim hadapan yang mana kini dikhabarkan pasukan itu sudah mulai merisik beberapa pemain.

Heboh di media sosial apabila dikatakan skuad The Red Warriors (TRW) kini mengambil langkah awal sebagai persediaan musim hadapan dengan mengintai tiga pemain dari sebuah kelab yang sama untuk diserapkan ke pasukan Kijang Emas.

Berdasarkan ‘rumour’ yang tersebar itu, TRW akan merekrut tiga bintang dari Negeri Sembilan FC (NSFC) yang mana pasukan itu antara yang terkuat dalam saingan Liga Super musim ini.

Berikut merupakan tiga bintang skuad Jang Hobin yang disebut-sebut akan disambar oleh TRW:

1) Gustavo Almeida dos Santos

WhatsApp Image 2022-08-21 at 4.27.36 PM

Gustavo merupakan bekas pemain UiTM FC untuk musim 2020-2021. — Facebook NSFC

Penyerang import NSFC, Gustavo yang baru sahaja menyertai skuad itu pada jendela perpindahan kedua musim ini berjaya membuktikan bahawa dirinya cukup berbaloi untuk bersama Jang Hobin.

Turut dilabel sebagai ayam tambatan skuad Jang Hobin kerana pemain berasal dari Brazil itu sudah meledak enam gol dalam sembilan perlawanan bersama NSFC.

Rekod cemerlang pemain berusia 26 tahun itu sememangnya diperlukan oleh Kijang Emas yang kini banyak mengharapkan kepada penyerang, Nurshamil Abd Ghani dan Nixon Guylherme.

Jika dua penyerang utama TRW ini mengalami kecederaan, Gustavo mampu menggalas tugas untuk mengisi kekosongan di jentera serangan bagi merobek kubu lawan.

2) Zamri Pin Ramli

WhatsApp Image 2022-08-21 at 4.27.47 PM

Sebelum sertai NSFC, Zamri bersama Penang FC pada musim 2020. — Facebook NSFC

Pertahanan sayap kiri Negeri Sembilan, Zamri Pin Ramli mula beraksi bersama skuad Hobin Jang Hobin sejak musim lalu selepas memutuskan untuk meninggalkan Penang FC pada Mei 2021.

Pemain yang berasal dari Kulim, Kedah itu sering menjadi watak utama bagi jentera pertahanan pasukan itu dan baru-baru ini dia berjaya mendapat jaringan pertama buat NSFC iaitu semasa perlawanan menentang bekas kelabnya, Penang FC.

Selain pengalaman bersama NSFC, pemain berusia 31 tahun itu juga merupakan tonggak utama Petaling Jaya City FC selama tiga musim iaitu semasa dibawah jurulatih yang sama, K. Devan.

3) Syihan Hazmi

WhatsApp Image 2022-08-21 at 4.27.22 PM

Syihan menjadi tumpuan selepas menjadi penjaga gol Harimau Malaya menentang Bangladesh pada Jun 2022. — Facebook NSFC

Syihan Hazmi semakin menyinar bersama NSFC sejak menyertai pasukan itu pada musim 2022 dan dia merupakan penjaga gol utama skuad Jang Hobin.

Nama Syihan semakin dikenali semenjak diberikan tanggungjawab untuk menjadi benteng terakhir skuad Harimau Malaya dalam perlawanan terakhir kempen kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bangladesh.

Jika sah ke Kelantan, Syihan akan membuat debut kedua bersama pasukan itu ekoran pada musim 2016-2017 pemain berusia 26 tahun itu pernah menyarung jersi TRW.

Selain Kelantan, dikhabarkan juga penyokong pasukan gergasi Johor Darul Takzim turut dikatakan berminat untuk melihat Syihan menyarung jersi Harimau Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram