POLIS menahan seorang lelaki dan teman wanitanya kerana disyaki mendera anaknya, yang juga seorang orang kurang upaya (OKU) di sebuah rumah di Lembah Jaya Selatan dekat Ampang, Selangor pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner, Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari, pegawai perubatan di Hospital Ampang telah menerima seorang pesakit berusia 31 tahun yang dibawa oleh ambulans dari tempat kejadian.
Menurutnya, keluarga mangsa telah memanggil ambulans kerana mangsa yang mempunyai sakit saraf telah terjatuh di rumah.
"Hasil rawatan yang dijalankan mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan yang mencurigakan seperti lebam di bahagian mata kanan disyaki dipukul serta ditumbuk," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mohamad Farouk berkata, sepasukan anggota polis telah menahan seorang lelaki berusia 60 tahun yang bekerja sebagai buruh dan seorang wanita berusia 47 tahun pada pukul 8.30 malam.
"Suspek lelaki adalah bapa kepada mangsa, manakala suspek wanita pula adalah teman wanitanya.
"Beberapa objek seperti penyapu, penyangkut baju dan kayu mop yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa turut dirampas," katanya.
Katanya, kedua-dua suspek direman empat hari bermula Ahad hingga Rabu, bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram