Sanggup tunggu sampai buka, 3 kaki pancing ditahan ponteng solat Jumaat


  • Primer
  • Ahad, 21 Ogos 2022

Bagi kesalahan itu, individu terbabit boleh didenda maksimum RM3,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

DEMI menunggu lokasi tangkapan ikan dibuka, tiga lelaki sanggup meninggalkan solat Jumaat dan berjaya ditahan sepasukan anggota penguat kuasa di sebuah kolam memancing di daerah Marang.

Tiga lelaki berusia lingkungan 19 hingga 45 tahun itu ditahan antara pukul 1.30 tengah hari hingga pukul 2 petang oleh Unit Penguatkuasaan Pejabat Agama Daerah Marang dan Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), pada Jumaat lalu.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Syariah JHEAT, Md Adnan Abdullah berkata, pegawai penguat kuasa syariah wanita yang melakukan penyamaran mendapati lelaki berkenaan tidak berganjak dari lokasi itu bermula masuk waktu solat Jumaat sehingga habis waktu.

"Ketiga-tiga lelaki terbabit didapati hanya duduk di dalam kereta sementara menunggu kolam pancing beroperasi.

"Sebaik selesai solat Jumaat, ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan. Ketika disiasat, mereka memberikan alasan menunggu kolam pancing dibuka selepas waktu solat Jumaat, " katanya pada Ahad.

Menurutnya, tiga lelaki itu berdepan dakwaan di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu (pindaan 2016) kerana tidak menunaikan solat Jumaat.

Jelas beliau, bagi kesalahan itu, individu terbabit boleh didenda maksimum RM3,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Operasi yang dijalankan di sekitar daerah Marang pada Jumaat lalu disertai seramai 15 anggota penguat kuasa. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram