TIDAK menerima sebarang undangan nyanyian selama beberapa tahun sehingga merasakan bahawa industri hiburan sudah melupakan siapa dirinya.
Itu yang dialami bekas vokalis kumpulan Mega, Rahmad ketika dia memilih untuk keluar daripada kumpulan tersebut pada tahun 1994.
Mengimbas kembali detik tersebut, Rahmad atau nama sebenarnya, Rahmad Tohak berkata, perjalanannya selepas keluar dari kumpulan Mega bukan sesuatu yang mudah.
Rahmad (tengah) sewaktu bersama kumpulan Mega.
"Sebenarnya selepas tahun 1994 ketika saya keluar daripada Mega, saya tidak mempunyai sebarang undangan nyanyian. Memang tidak ada kerja langsung.
"Sebab ketika itu industri hiburan popular dengan muzik berkumpulan seperti Spring, Ukays, Slam dan Exist.
"Jadi penerimaan untuk penyanyi solo seperti saya agak kurang. Ketika itu saya merasakan bahawa industri sudah melupakan saya sehingga saya bekerja dengan Ambang Klasik untuk mencari pendapatan.
"Bila kegawatan ekonomi pada 1997, saya diminta ambil skim pemberhentian secara sukarela (VSS) dan bermula daripada situ yang saya mula berniaga sehingga sekarang," katanya kepada Majoriti.
Rahmad berdiri di hadapan food court miliknya yang diusahakan sebelum ini.
Bercerita mengenai dunia perniagaan pula, penyanyi lagu Bayangan Gurauan ini mendedahkan yang dia mengalami kerugian mencecah RM300,000 selepas perniagaan food court yang diusahakannya terpaksa ditutup ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Malah, Rahmad turut memaklumkan yang dia tidak akan membuka semula food court yang diberi nama The Stage By Rahmad Mega itu.
"Tempat itu sudah dua kali menjalani proses ubah usai. Ditambah dengan kos operasi dan sewa lagi, itu yang menyebabkan saya rugi kira-kira RM300,000.
"Kalau nak buka semula memang tidak. Sebab itu bukan kepakaran saya. Ketika itu saya sekadar nak mencuba.
"Tak dinafikan perniagaan berasaskan makanan ini memang bagus cuba ketika PKP itu, hanya perniagaan tertentu sahaja yang ke depan," katanya.
Rahmad akui belum ada perancangan untuk kembali sepentas bersama Mega.
Bekas vokalis kumpulan Mega itu berkata, kerugian yang dialaminya itu bukanlah sesuatu yang pertama kali berlaku.
Malah, beberapa perniagaan yang diusahakannya sebelum ini juga pernah mengalami kerugian tetapi itu bukan penghalangnya untuk terus bangkit.
"Saya punya cara bekerja, bila gagal atau berjaya, saya akan tetap buat benda yang lain. Sebab apa yang berlaku adalah satu pengalaman dan laluan untuk berjaya," katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai penyatuan semula dirinya bersama Mega, Rahmad berkata, buat masa ini belum ada sebarang perancangan ke arah tu.
Jelasnya, nak bermain bersama sebuah band memerlukan komitmen masa yang tinggi dan perkara itu menjadi kesukaran buat dirinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram