'Sering kencing, berak dalam sel', OKT mati dalam lokap mungkin bergaduh dengan tahanan lain


  • 112
  • Ahad, 14 Ogos 2022

Muhammad Zaki berkata, kes tersebut disiasat Bukit Aman. — Facebook

SEORANG buruh yang merupakan orang kena tahan (OKT) di lokap Balai Polis Bachok, Kelantan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bachok selepas dipercayai bergaduh dengan tahanan lain.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 32 tahun itu meninggal dunia semasa menerima rawatan di klinik tersebut pada pukul 11 pagi, Sabtu.

Katanya, siasatan mendapati mangsa dipercayai bergaduh dengan tahanan lain di dalam lokap sehingga dia mengalami sesak nafas sebelum diasingkan ke lokap lain.

"OKT dimasukkan ke lokap balai polis itu selepas ditahan atas tiga kes dadah pada 2 Ogos lalu dan sepatutnya dituduh di mahkamah hari ini (Ahad) atas kesalahan tersebut.

"Bahkan, OKT juga dikatakan sering menimbulkan masalah kepada tahanan lain dengan membuang air kecil dan besar di dalam sel lokap tersebut," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

"Kita akan menunggu laporan bedah siasat. Berdasarkan laporan tersebut dan rakaman televisyen litar tertutup lokap, kita akan dapat mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya.

Tambahnya, kes tersebut disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram