SEKUMPULAN pelajar perempuan berdepan detik cemas selepas mereka terperangkap dalam lif bangunan Sunsuria Avenue di Kota Damansara, Selangor pada Sabtu.
Kejadian itu dikongsikan di Facebook Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dengan memaparkan gambar beserta video operasi menyelamat berdurasi 2 minit 43 saat.
Menurut perkongsian itu, kejadian dilaporkan pada pukul 8.26 malam membabitkan pelajar sebuah kolej di bangunan itu yang terperangkap di dalam lif di tingkat satu.
"Anggota bomba bertindak membuka pintu lif dengan menggunakan kunci lif dan semua mangsa dapat dikeluarkan dalam keadaan selamat," demikian menurut perkongsian itu pada Ahad.
Difahamkan, seorang mangsa hampir pengsan dalam kejadian berkenaan.
Dalam perkongsian berasingan, BBP Sungai Buloh memaklumkan kejadian itu berpunca daripada lif lebih muatan.
"Lif tidak dapat menampung bebanan melebihi kapasiti yang ditetapkan.
"Walaupun lif tidak mengeluarkan bunyi amaran lebih muatan, bebanan berlebihan akan mengakibatkan lif tidak berfungsi dengan baik," kata kenyataan itu.
Menerusi perkongsian sama, BBP Sungai Buloh memaklumkan telah mengambil inisiatif memberikan taklimat kepada pelajar kolej di situ supaya peka dengan had muatan ditetapkan bagi mengelak insiden sama berulang.
Bomba turut menasihatkan orang ramai menggunakan kemudahan lif secara berhemah dan menitikberatkan had bebanan yang ditetapkan bagi setiap penggunaan.
"Kami meninggalkan mesej melalui tanda pagar lif tidak boleh masuk ramai sampai 19 orang dan sabar itu indah," tulis BBP Sungai Buloh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram