SELEPAS menunjukkan prestasi yang tidak memberangsangkan sepanjang dua perlawanan, penyokong tegar Sarawak United FC (SUFC) mula mempersoalkan di mana silapnya pasukan kendalian S. Balachandran itu.
Pada perlawanan Sabtu lalu, skuad Ngap Sayot tewas 0-1 di tangan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu.
Ia merupakan kekalahan kedua Sarawak selepas turut tewas 0-1 pada aksi Derbi Borneo menentang Sabah FC, Selasa lalu.
Berada di tangga ke 10 carta Liga Super, aksi SUFC yang tidak konsisten dan kurang menyengat menyebabkan peminat mula merasakan kelab itu agak ketinggalan dengan pasukan yang ada di Semenanjung Malaysia.
Menurut Abok Manok, perbezaan kemahiran individual player Malaya (pemain Semenanjung) dengan pemain tempatan Sarawak jauh ketinggalan.
"Pemain kita setakat pandai one touch football tidak berguna juga.
"Pemain perlu belajar perlu belajar individual skill seperti mengelecek dan pandai menipu helah lawan.
"Antara skill lain yang perlu dipelajari ialah dengan membuat hantaran bola yang sempurna, pressing lawan atau membuat hantaran pendek
"Kalau semua skill ini dapat dipraktikan InshaALLAH dapat menyaingi pasukan Malaya," tulisnya.
Malah seorang lagi peminat SUFC, Sudom Alin menyifatkan corak permainan prestasi pemain Sarawak menentang TFC pada malam Sabtu itu tidak memuaskan.
"Pemain lembik macam 'sotong', main macam liga kampung.
"Memalukan nama Sarawak. Bubarkan saja pasukan ini.
"Langsung tidak ada skill dan teknik dalam bola sepak," tulisnya.
Walaupun SUFC kalah 0-1 di tangan TFC, namun Balachandran tetap berpuas hati dengan prestasi pemainnya — Facebook
Walaupun begitu, ketua jurulatih SUFC tetap berpuas hati dengan prestasi pemainnya dan menyatakan bahawa taktikal yang digunakan juga cukup berkesan pada perlawanan menentang TFC.
Memetik laporan Majoriti sebelum ini, Balachandran berkata, anak-anak buahnya bermain cukup baik dalam kedua-dua aksi Liga Super itu.
"Mereka juga mampu mengawal pasukan lawan daripada membuat lebih banyak jaringan.
“Kita dah memang cukup baik, kita pun berada dalam tangga ke-10. Kita pun bermain dengan kumpulan teratas jadi kita kena realistiklah dengan team yang kuat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram