Niat 3 sahabat ke kedai makan berakhir tragedi di Dungun


  • 112
  • Isnin, 01 Ogos 2022

Keadaan motosikal yang dinaiki ketiga-tiga mangsa selepas nahas pada Ahad. — Facebook

TIGA rakan karib maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta yang dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan lain di Kilometer (KM) 80 Jalan Jerangau-Jabor di Bukit Besi dekat Dungun, Terengganu, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, Muhammad Hafiqzie Mohd Zukri; Muhammad Salman Faris Samsu; dan Muhammad Faris Haikal Mohd Faizal, kesemuanya berumur 14 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

296866313_742342963834294_8840794025100935419_n

Orang ramai berkumpul di tempat kejadian. — Facebook

Baharudin berkata, polis menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut pada pukul 9.25 malam dan siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku setelah sebuah Proton Iswara dari arah Jabor menghala ke Jerangau masuk ke laluan bertentangan untuk memotong sebuah kenderaan lain, namun telah bertembung dengan motosikal Honda EX5 yang dinaiki ketiga-tiga mangsa.

"Akibat kemalangan tersebut, penunggang iaitu Muhammad Faris Haikal dan dua lagi rakannya yang membonceng motosikal berkenaan, maut di tempat kejadian. Mereka difahamkan dalam perjalanan ke kedai makan.

"Pemandu Proton Iswara iaitu seorang lelaki berumur 50 tahun dan penumpang hadapan, seorang wanita berumur 45 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berumur enam dan tujuh tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan. Mereka kini dirawat di Hospital Dungun,” katanya ketika dihubungi awal pagi Isnin.

296965861_742325630502694_5466678889311467611_n

Keadaan Proton Iswara selepas kemalangan tersebut. — Facebook

Menurut Baharudin, mayat ketiga-tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besi itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, nenek Muhammad Faris Haikal, Nolida Ismail, 51, ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Dungun, awal pagi Isnin berkata, beliau menerima maklumat mengenai tragedi yang menimpa cucu kesayangannya itu melalui panggilan telefon daripada anak perempuanya yang tinggal di Kuala Terengganu.

"Ketika anak saya iaitu ibu saudara Faris (Muhammad Faris Haikal) telefon memberitahu ada maklumat yang tular di kumpulan WhatsApp mengenai kemalangan membabitkan tiga ‘budak’ lelaki yang menaiki motosikal EX5 berwarna merah di situ (Bukit Besi). Saya terus rasa tidak sedap hati kerana Faris baru sahaja keluar menunggang motosikal saya yang juga jenis EX5 merah. Lagipun mereka bertiga memang selalu bersama ke mana-mana sahaja.

"Jadi saya terus hubungi telefon bimbit Faris namun, panggilan tidak dijawab. Saya semakin tidak sedap hati dan bergegas ke lokasi yang dimaklumkan. Apabila sampai saya lihat motosikal saya berada di situ dan mayat cucu serta rakan-rakannya telah diusung masuk ke dalam kenderaan polis,” katanya.

Nolida berkata, dia berasa sangat sedih kerana telah menjaga Muhammad Faris Haikal yang merupakan anak bongsu daripada 10 beradik, sejak lahir, memandangkan kedua-dua ibu bapa remaja berkenaan telah berpisah dan bekerja di luar Terengganu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram