Vanidah Imran sah bergelar isteri kepada duda anak 4


  • Hiburan
  • Khamis, 07 Jul 2022

VANIDAH sebelum ini tidak pernah mendedahkan kisah percintaannya kepada umum. — luxurycapturephotography 

PELAKON terkenal, Vanidah Imran, 49, kini rasmi bergelar isteri kepada jurutera, Arifabillah Idris, 43, selepas kedua-duanya disatukan di Titiwangsa, Kuala Lumpur kira-kira pukul 12.12 tengah hari Khamis.

Majlis pernikahan mempelai itu dikendalikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi dengan berwalikan adik Vanidah, Johan.

Majlis pernikahan yang dihadiri oleh 50 tetamu terdiri daripada kalangan keluarga dan teman rapat, Vanidah dan Arifabillah bagaimanapun enggan berkongsi jumlah wang hantaran sebagai memenuhi permintaan keluarga.

Pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir dan Red Kebaya itu turut menerima mas kahwin berbentuk seutas rantai emas daripada suaminya selain masing-masing berbalas dua dulang hantaran.

WhatsApp Image 2022-07-07 at 1.12.18 PM

Vanidah dan suaminya, Arifabillah selamat bernikah pada pagi Khamis. — luxurycapturephotography

Dalam majlis berlangsung sederhana namun penuh bermakna sentuhan perancang perkahwinan ezsconcept, Vanidah mengenakan pakaian rekaan Rizman Ruzaini dan solekan oleh Syed Faizal.

Sementara itu, Vanidah mengakui, untuk bergelar seorang isteri kembali bukan sesuatu yang mudah, namun berkat restu seluruh ahli keluarga dan sokongan rakan-rakan, niat baik itu dipermudahkan oleh ALLAH.

Disebabkan itu juga Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-20 itu memilih mengunci mulut tanpa menghebahkannya.

"Sejujurnya yang tahu saya dan Arifabillah mempunyai hubungan istimewa hanyalah kawan rapat selain keluarga dan dua anak saya, Mikail Aimran dan Maryam Rashika.

"Kawan rapat pun hanya dimaklumkan saya beberapa hari sebelum majlis pernikahan. Ada di antara mereka terkejut dengan berita ini, namun dalam masa tumpang gembira terhadap keputusan dibuat," ujarnya lagi.

WhatsApp Image 2022-07-07 at 1.12.19 PM

Hanya ahli keluarga, anak-anak dan teman rapat yang tahu hubungan istimewa Vanidah dan suaminya. — luxurycapturephotography

Kata Vanidah, sejujurnya dia gembira dan bersyukur kerana bertemu jodoh dengan Arifabillah yang memiliki persamaan dengannya.

Jelasnya, dia dan suaminya, berpengalaman melalui kegagalan dalam perkahwinan pertama serta dikurniakan anak, justeru, persefahaman lebih mudah dicapai.

"Kami pernah berkahwin. Masing-masing pernah melalui pengalaman hidup berumah tangga. Dia sebelum ini berstatus duda kepada empat cahaya mata.

"Jadi paling utama dalam memutuskan soal membina masjid kami, perasaan dan hati anak-anak perlu diutamakan," kata Vanidah yang kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram