Konon dirompak, pemandu lori rupanya dalang seludup 25 tan gula


  • Benua
  • Khamis, 07 Jul 2022

Pemandu MI itu ditemui dalam keadaan terikat dan berbalut di Gunung Sindur, Bogor dan ternyata rompakan itu adalah rekaan semata-mata. — Agensi 

POLIS Metro Jaya mendedahkan kes rompakan membabitkan pemandu lori yang hanya digelar sebagai MI, di Tol Cikupa, Tangerang, Jawa Indonesia rupa-rupanya rekaan semata-mata.

Siasatan polis mendapati pemandu lori berusia 28 tahun itu bekerjasama dengan rakannya untuk menyeludup 25 tan gula pasir.

“Penjenayah (pemandu lori) bekerjasama dengan rakan sekerja untuk menyeludup lori yang mengandungi 25 tan gula,” kata Ketua Perhubungan Masyarakat Polis Metro Jaya Kombes, Endra Zulpan kepada pemberita, Khamis.

Mereka mencipta senario seolah-olah MI dirompak dan ditinggalkan di Bogor.

“Pemandu lori itu diikat oleh rakannya sendiri dan dibiarkan di Gunung Sindur, kemudian menyebarkan berita palsu kononnya dia baru disamun untuk meraih simpati orang ramai,” jelas Zulpan.

Zulpan mendedahkan bahawa MI mengaku berbohong mengenai rompakan itu bagi mengelirukan orang ramai bahawa dia menggelapkan 25 tan gula pasir yang dibawanya.

"Bagi lebih meyakinkan senario, pemandu itu turut membuat laporan polis berhubung kejadian palsu itu,” kata Zulpan.

Penipuan MI itu terbongkar selepas polis mengesyaki pemandu lori itu terlibat dalam kes itu apabila dia menghilangkan diri sewaktu polis menyiasat laporan yang dibuat oleh suspek sendiri.

Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes itu dan rakan MI yang melarikan lori dengan muatan 25 tan gula pasir itu masih diburu pihak berkuasa.

Sebelum ini, penduduk sekitar Gunung Sindur, Bogor digemparkan dengan penemuan seorang lelaki yang kaki dan tangannya diikat selain mata serta mulutnya ditutup dengan pita pelekat di Kabupaten Bogor pada Rabu.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Tangerang, Inspektor Zamrul Aini berkata, lori yang disamun mengandungi 25 tan gula.

Selain itu, telefon bimbit mangsa turut hilang.

"Kereta dan pengangkutannya masih belum ditemui, dengan 25 tan gula. Dompet dan telefon bimbit berada di dalam lori dalam keadaan peranti masih mengecas dalam kereta," katanya ketika dihubungi, Khamis.

Zamrul mendedahkan, berdasarkan pengakuan mangsa, terdapat kira-kira lima orang suspek yang melakukan samun kepadanya dan dia juga diugut dengan senjata api. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram