Banjir Baling, bukan takungan air ladang Musang King yang pecah — MB Kedah


  • Primer
  • Khamis, 07 Jul 2022

Banjir dan fenomena kepala air di Baling yang mengakibatkan tiga nyawa terkorban setakat ini. — Bernama

SUMBER air yang terkumpul banyak di Gunung Inas, dekat Baling yang mengalir turun dengan laju di sudut cerun yang curam dipercayai menyebabkan berlakunya kejadian banjir dan fenomena kepala air pada Isnin lepas.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kesimpulan itu berdasarkan tinjauan udara yang dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu di kawasan gunung itu yang turut mendapati tiada pecahan takungan air seperti yang didakwa.

"Saya berpeluang menaiki helikopter PDRM untuk meninjau kawasan bencana dan dapat melihat secara menyeluruh laluan aliran air yang berpunca dari Gunung Inas sehingga kawasan bencana dan Pekan Kupang.

"Pemerhatian mata kasar dari udara, saya dapati air terkumpul begitu banyak pada satu-satu masa. Terdapat berpuluh-puluh lorong terbentuk di Gunung Inas yang mengalir ke bawah di sudut cerun sangat curam dan menyebabkan air bergerak begitu laju di Lata Celak ini dalam tempoh serentak,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, dalam tinjauan itu, beliau mendapati takungan yang dibina di kawasan tanaman Musang King masih ada, dan takungan tempat pengumpulan air untuk dipam masuk ke kolam berkenaan juga tidak pecah.

Beliau berkata, pokok-pokok besar di sepanjang aliran air di gunung itu juga masih ada dan tidak ditebang sewaktu ladang hutan tanaman durian Musang King dibangunkan.

Justeru beliau berkata, kesimpulan pada masa ini sebelum mendapat laporan daripada jabatan teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) ialah aliran air bergerak begitu laju di cerun curam daripada sumber air yang terlalu banyak dan bercantum menjadi satu di aliran Lata Celak yang mengalir ke Sungai Kupang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Isnin lepas, banjir dan fenomena kepala air di Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan selain 15 rumah musnah dihanyutkan arus deras. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram