'Bukan rezeki kita,' 5 poin Terengganu tunjuk Kedah jalan keluar Piala FA


  • Podium
  • Khamis, 07 Jul 2022

Antara aksi penyerang Ronald Ngah Wanja pada perlawanan itu.

KEMENANGAN ketika kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC Cup) 2022 tidak bersambung buat Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas tewas 1-0 di tangan pasukan Terengganu FC (TFC) dalam aksi pusingan kedua Piala FA 2022.

Perlawanan yang diadakan di di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu itu menyaksikan tuah memihak kepada tuan rumah apabila jaringan tunggal pemain lincah TFC, Faiz Nasir seawal minit keenam bertahan sehingga tiupan wisel terakhir.

gol

Gol dari Faiz Nasir pada minit keenam membawa kemenangan kepada TFC.

Dalam aksi perlawanan tertunda itu jelas menunjukkan KDA FC tampil dengan gaya permainan yang kurang menyakinkan sehingga tidak dapat membolosi gawang TFC.

Berikut adalah lima punca mengapa KDA gagal untuk melakar kejayaan sewaktu menentang skuad Penyu.

1) Corak permainan lemau dan tidak bermaya

Adakah penat Piala AFC tidak hilang lagi? Demikian antara komen yang dilontarkan oleh penyokong KDA FC yang mempersoalkan aksi longlai barisan pemain skuad Hijau Kuning.

Selepas bertarung pada Piala AFC, aksi menentang TFC adalah perlawanan pertama Sang Kenari dalam saingan Liga Malaysia namun penat tidak boleh menjadi alasan pasukan itu berikutan mereka mempunyai tempoh selama lima hari untuk rehat dan berlatih bagi mengembalikan stamina.

Bagi sesetengah penyokong, pasukan Terengganu jauh lebih penat jika dibandingkan dengan KDA FC kerana skuad itu baru sahaja berentap dengan Sri Pahang pada 3 Julai lalu.

Anak buah Aidil Sharin Sahak banyak membuat hantaran sia-sia dan kurang kemas, tidak seperti corak permainan yang mereka tampilkan ketika bangkit menundukkan Visakha FC pada saingan Piala AFC 30 Jun lalu.

Isu kecergasan Sang Kenari sudah diperkatakan sejak awal musim dan kini ia kembali menghantui ruangan komen media sosial yang mahu Aidil mengambil jurulatih kecergasan lebih baik untuk meningkatkan kualiti stamina pemain.

Masalah stamina secara tidak langsung menyumbang kepada corak permainan yang 'lemau' seperti ditunjukkan ketika menentang Terengganu AFC pada Rabu.

2) Benteng, tengah TFC kukuh

Pujian perlu diberikan kepada pemain barisan pertahanan dan tengah terutamanya tiga bintang import iaitu Habib Haroon, Petrus Shitembi dan Manuel Ott kerana berjaya mengukuhkan benteng dan bahagian tengah TFC daripada dikuasai oleh KDA FC.

Berbeza dengan pertahanan KDA FC yang goyah setelah kehilangan pemain pertahanan KDA FC, Marc Vales sedikit sebanyak dirasai pasukan itu dan mereka terpaksa mempertaruhkan pemain sedia ada sahaja iaitu Akmal Zahir dan Rodney Celvin.

"Padu betul pemain tengah dan pertahanan TFC bertahan. Tidak kena serangan pegang bola saja jawabnya. Hantaran pun mantap," kata penyokong, Mohamad Nazrin.

rodney

Rodney salah satu pemain pertahanan KDA FC pada perlawanan itu.

3) Taktikal Nafuzi menjadi

Siapalah pemain tanpa jurulatih, taktikal Nafuzi Zain mendapat pujian peminat pada perlawanan itu kerana walaupun bermain dengan kekuatan 10 orang pemain sahaja, TFC mampu bertahan sehingga minit terakhir.

Lebih menarik, anak buah Nafuzi mampu melancarkan serangan balas yang berbahaya walaupun penyudah agak tumpul.

Dengan konsistensi yang ditunjukkan pemainnya sepanjang perlawanan tersebut, Nafuzi sudah bersedia dengan pelan lebih baik untuk menghadapi KDA FC dengan mempamerkan taktik high pressing sehingga membuatkan gandingan tengah import Kedah, Sanrawat Dechmit dan Dechi Marcel N'Guessan sukar untuk mengatur serangan berbahaya.

Dengan erti mudah, Kedah terpaksa bermain corak hantaran lambung dari kawasan pertahanan untuk mencari pemain penyerang atau sayap, bukannya mengatur gerakan dari bawah disebabkan taktik Nafuzi ini.

4) Persefahaman pemain

Skuad Sang Kenari yang tampil dengan beberapa muka baharu seperti pemain import Mahmoud Al-Mardi dan Sanrawat Dechmitr boleh menjadi faktor kepada kurangnya persefahaman dan keserasian antara pemain.

Penyokong beranggapan sesetengah pemain mungkin masih kurang jelas dengan kehendak dan gaya permainan yang ingin diterapkan Aidil apatah lagi jika berdepan dengan lawan yang bermain dengan corak high pressing dan open play seperti TFC.

5) Gagal ambil kesempatan

Ketiadaan seorang pemain pertahanan Pape Abdoulaye Diakite atas layangan kad merah langsung tidak digunakan sehabis baik oleh pasukan KDA FC.

Perkara itu bukan sahaja mengecewakan penyokong KDA FC, malah bekas jurulatih Sang Kenari, Muhammad Azraai Khor Abdullah juga meluahkan rasa kecewanya.

"Bukan rezeki kita. Walaupun pihak lawan bermain dengan 10 orang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram