Suami roboh rumah bernilai hampir RM148,000 lepas cerai


  • Benua
  • Khamis, 07 Jul 2022

Sebuah rumah di Desa Larangan Slampar, Pamekasan dirobohkan selepasa pasangan suami isteri itu bercerai. — Agensi

SEORANG lelaki bertindak merobohkan rumah bernilai 500 juta rupiah (RM147,750) selepas bercerai dengan isterinya.

Lelaki terbabit, Moh. Suaib dari Desa Larangan Slampar, Pamekasan berkata, dia tidak mahu rumah tersebut didiami bekas isterinya.

Bapa saudara lelaki itu, Abdul Hannan berkata, proses mediasi dijalankan supaya kediaman berkeluasan 54 meter persegi itu tidak dirobohkan selepas cerai dilafazkan di Mahkamah Agama Pamekasan.

Bagaimanapun, Suaib tetap meneruskan perancangannya kerana dia sekarang tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Pangtonggal.

“Proses rundingan turut melibatkan ahli keluarga lain. Malah, tiga jam sebelum rumah tersebut dirobohkan, Abdul Hannan menghubungi Suaib supaya tidak merobohkan rumah itu.

“Rumah tersebut yang dibina pada 2018 akhirnya dirobohkan menggunakan jentera berat dengan bantuan jiran,” katanya lapor Kompas.com.

Difahamkan, rumah tersebut dibina menggunakan duit ibu bapa lelaki itu, manakala, tanah tersebut adalah harta pusaka milik ibu bapa bekas isterinya.

Abdul Hannan turut merayu agar rumah tersebut diwariskan kepada dua anak mereka, namun cadangan tersebut juga ditolak.

Keluarga bekas isteri Suaib hanya menyaksikan rumah tersebut dirobohkan manakala dua abang iparnya enggan memberikan butiran lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram