Jangan minum banyak air sebelum tidur, kata pakar


  • Sihat
  • Isnin, 27 Jun 2022

Meskipun adakalanya bangun tidur untuk ke bilik air tidak membahayakan kesihatan, gangguan tidur berterusan boleh menyebabkan pelbagai masalah. — Gambar hiasan

KITA semua tahu pengambilan cecair dalam badan adalah penting supaya kita dapat mengekalkan hidrasi badan.

Namun, masa untuk anda minum air juga merupakan perkara penting yang perlu diambil kira.

Pakar gangguan tidur, Jessica Vensel Rundo berkata, setiap orang harus memberi perhatian terhadap berapa banyak air yang diminum sebelum tidur.

"Kami tidak mengesyorkan minum air dalam kuantiti yang banyak sebelum tidur," katanya.

Masa terbaik untuk minum air

Anda dinasihatkan untuk berhenti minum air pada dua jam sebelum tidur.

Ini penting supaya anda tidak membebankan badan dengan cecair tambahan, yang boleh menyebabkan anda perlu membuang air kecil pada tengah malam.

Sekiranya anda terdesak untuk minum air, sama ada kerana mulut anda terasa kering atau anda perlu makan ubat malam, sebaiknya minum hanya pada kadar sedikit.

"Sebaiknya, minum kurang daripada segelas air pada dua jam terakhir sebelum tidur jika perlu.

"Elakkan alkohol, jus dan teh dalam dua jam terakhir sebelum kepala anda menyentuh bantal," tambahnya.

Mengapa anda tidak boleh minum air sebelum tidur?

Mengekalkan pengambilan cecair dalam badan adalah penting.

Namun, rehat pada waktu malam adalah sama penting. Jika tidur anda kerap terganggu, mungkin sudah tiba masanya untuk menukar rutin waktu malam anda.

Tidur malam yang sering terganggu boleh menjejaskan kualiti tidur. Akhirnya, ini juga mempunyai kesan negatif terhadap sistem imun.

"Sistem imun terganggu jika anda mengalami kekurangan tidur," kata Rundo.

Meskipun adakalanya bangun tidur untuk ke bilik air tidak membahayakan kesihatan anda, gangguan tidur berterusan boleh menyebabkan pelbagai masalah.

Tambahan pula, tidur dikaitkan dengan pelbagai masalah bermula sistem imun sehingga kesihatan mental.

Kekurangan tidur yang teruk telah terbukti mempunyai kaitan dengan sifat pelupa, tekanan darah tinggi, kolestrol tinggi, penambahan berat badan dan kanser.

Bilakah masa yang sesuai untuk minum air?

Untuk mengekalkan pengambilan cecair dalam badan, anda perlu minum air secara konsisten sepanjang hari.

Namun, itu tidak bermakna anda perlu minum banyak air pada satu-satu masa, terutamanya sebelum tidur.

Sebaliknya, kekalkan keseimbangan cecair sepanjang hari dengan:

a) Minum air setiap kali makan.

b) Kekal terhidrat selepas bersenam.

c) Dapatkan cecair tambahan daripada buah-buahan dan sayur-sayuran.

Tiada masa khusus untuk memenuhi pengambilan cecair dalam badan.

Apa yang anda perlu lakukan ialah memenuhi pengambilan cecair dengan cara yang mampan dan konsisten. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram