Tambah tenaga antara 4 khasiat susu


  • Sihat
  • Khamis, 23 Jun 2022

Susu mempunyai pelbagai manfaat bermula daripada mengekalkan kesihatan tulang, meningkatkan kesihatan jantung serta mengurangkan risiko obesiti. — Gambar hiasan/Agensi

BUKAN rahsia lagi bahawa amalan minum susu lembu mampu menguatkan tulang dan gigi disebabkan kandungan kalsium dan vitamin D di dalamnya.

Namun, khasiat meminum susu ternyata tidak terhenti setakat itu sahaja.

Hal ini kerana susu mempunyai pelbagai manfaat bermula daripada mengekalkan kesihatan tulang, meningkatkan kesihatan jantung, mengurangkan risiko obesiti dan sebagainya.

Faedahnya dipengaruhi oleh 13 nutrien dalam susu seperti vitamin B12, riboflavin, niasin, kalium, fosforus, vitamin A, zink dan selenium.

Pada dasarnya, susu bukan sahaja bertindak sebagai penjana tenaga, malah ia mempunyai banyak manfaat, bermula daripada meningkatkan kesihatan tulang sehingga membantu mengekalkan kesihatan jantung.

Selain itu, susu juga boleh meningkatkan prestasi sukan seseorang serta boleh mengurangkan risiko obesiti dan diabetes jenis 2.

Berikut merupakan antara kebaikan yang boleh diperoleh daripada susu:

a) Menambah tenaga

Tiada minuman yang lebih baik untuk diminum pada sebelum dan selepas bersenam kecuali susu. Hal ini kerana susu boleh menambah tenaga.

Pakar Pemakanan, Jordan Mazur berkata, susu dan produk tenusu tulen mempunyai pakej pemakanan yang diperkaya dengan 13 nutrien penting seperti protein berkualiti tinggi, kalsium, zat besi, zink dan vitamin D."

"Kandungan ini sesuai untuk flexitarian dan vegetarian, selain menyediakan sumber pemakanan yang apabila dimakan oleh atlet, ia penting untuk menyokong prestasi dan pemulihan," katanya.

Selain itu, susu juga merupakan salah satu sumber kalsium, vitamin D, dan mikronutrien yang paling berpatutan.

Malah, susu juga kaya dengan whey dan kasein, dua protein utama dalam susu yang membantu membina jisim otot dan meningkatkan pemulihan.

b) Membantu mengawal tekanan darah

blood_pressure_header

Mereka yang mengambil lebih banyak susu dan produk yang diproses mengalami tekanan darah sistolik yang lebih rendah. — Gambar hiasan

Beberapa kajian melaporkan bahawa mereka yang minum susu dan makanan tenusu mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat tekanan darah tinggi.

Hal ini kerana kandungan nutrien dalam susu, termasuk kalsium, kalium, dan mikro-nutrien lain boleh membantu mengawal tekanan darah.

Kajian juga menunjukkan bahawa mereka yang mengambil lebih banyak susu dan produk yang diproses mengalami tekanan darah sistolik yang lebih rendah.

Meta-analisis yang meneliti 45,000 subjek dan 11,500 kes tekanan darah tinggi juga melaporkan bahawa, pengambilan makanan tenusu yang diproses, terutamanya susu rendah lemak, boleh mengurangkan risiko tekanan darah tinggi.

Selain itu, diet DASH (Pendekatan Pemakanan untuk Menghentikan Hipertensi) juga diketahui memerlukan dua hingga tiga hidangan pilihan susu rendah lemak untuk digabungkan dengan makanan sihat, seperti sayur-sayuran dan bijirin.

c) Menurunkan berat badan

Selain itu, susu juga boleh membantu kita menurunkan berat badan.

Hal ini kerana protein berkualiti tinggi dalam susu dapat membantu meningkatkan rasa kenyang, mengurangkan rasa lapar dan rasa mengidam.

Akibatnya, kita cenderung tidak akan makan berlebihan.

Soal protein dalam susu yang dapat meningkatkan rasa kenyang juga dibangkitkan dalam sebuah artikel ulasan yang diterbitkan oleh Nutrition Research Review.

Artikel tersebut juga menunjukkan bahawa protein whey dan kasein dalam susu dapat membantu mengatur pengambilan makanan, menurunkan kadar gula dalam darah serta dapat membantu mengurangkan berat badan secara keseluruhan.

Kajian lain yang diterbitkan dalam American Journal of Clinical Nutrition turut menunjukkan hasil sama.

Oleh sebab itu, minum segelas susu sebelum makan dapat membantu kita menurunkan berat badan berlebihan.

d) Mencegah diabetes jenis 2

Doctor checking blood sugar level with glucometer. Treatment of diabetes concept.

Diabetes dipercayai boleh dielak dengan mengambil produk susu rendah lemak setiap hari. — Gambar hiasan

Sebuah artikel yang diterbitkan dalam Nutrition Journal mendapati, individu dengan pra-diabetes atau mereka yang berisiko tinggi terkena diabetes boleh mencegahnya dengan mengambil produk susu rendah lemak setiap hari.

Menurut artikel itu, antara 639 orang yang dikaji, mereka yang lebih banyak menggunakan produk susu rendah lemak mempunyai risiko terkena diabetes jenis 2 yang lebih rendah, berbanding individu yang kurang menggunakan produk susu setiap hari.

Penurunan risikonya juga cukup besar iaitu 41 peratus. Jadi, tidak ada salahnya untuk memulakan rutin minum susu dari sekarang kan? — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram