Gavin tinggalkan Insomniacks


  • Hiburan
  • Isnin, 13 Jun 2022

Gavin (kanan) bersama anggota Insomniacks yang lain.

KUMPULAN yang popular dengan lagu berjudul Pulang, Insomniacks mengesahkan seorang daripada anggota kumpulannya, Gavin membuat keputusan tidak lagi bersama mereka.

Pemain bes Insomniacks, Iskandar bagaimanapun enggan mendedahkan sebab mengapa Gavin yang juga pemain dram memilih untuk keluar daripada kumpulan itu.

"Kami dah bertemu dan berbincang bersama satu kumpulan serta menerima keputusan Gavin secara terbuka walaupun agak berat hati nak melepaskannya.

"Tempoh masa berapa lama Insomniacks akan tampil tanpa Gavin juga agak sukar untuk disahkan kerana kami sendiri tidak tahu berapa lama," katanya kepada Majoriti.

insom group

Anggota Insomniacks kini tinggal tiga orang, (dari kanan) Danial, Iqie dan Iskandar.

Menurut Iskandar, Gavin tidak akan bersama mereka dalam beberapa projek yang akan datang.

Tetapi, itu tidak bermakna Gavin dibuang terus daripada Insomniacks dan mereka masih berhubung seperti biasa.

Dalam pada itu, Iskandar juga berharap yang peminat dapat meneruskan sokongan bukan sahaja terhadap Insomniacks, tetapi juga kepada Gavin.

"Kami berharap semua orang dapat memahami keputusan ini dan menghormati ruang keputusan peribadinya itu.

"Kami menyayangi Gavin dan kami berharap semua orang dapat menunjukkan kasih sayang kepadanya dalam bentuk komen serta menyokong Gavin dalam apa jua yang dilakukannya," katanya.

Selain Gavin dan Iskandar, Insomniacks turut dianggotai oleh Iqie selaku vokalis dan pemain gitar serta Danial (gitar ritma).

Sepanjang lima tahun pembabitan Gavin bersama Insomniacks, mereka sudah melakar pelbagai pencapaian yang membanggakan antaranya mencatatkan lebih 28 juta tontonan untuk lagu Pulang di YouTube. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram