Ahmad Zahid perlu henti 'politiking', fokus selesaikan masalah rakyat — Pas


  • Politik
  • Isnin, 13 Jun 2022

Khairil Nizam Khirudin (kiri) mahu Ahmad Zahid Hamidi tidak 'berpolitiking' dan fokus pada masalah rakyat.

KETUA Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin menggesa Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya berhenti seketika 'berpolitiking' sebaliknya memberi fokus menyelesaikan isu masalah yang dihadapi rakyat ketika ini.

Ujar beliau, sebagai ketua parti besar orang Melayu yang berpengalaman, Presiden Umno harus berjiwa besar bersama-sama kerajaan untuk teruskan agenda kesejahteraan rakyat dan bukan meletakkan kepentingan diri sendiri sebagai keutamaan.

"Tujuan Pas menyokong kerajaan pada hari ini adalah untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan negara ini dapat ditadbir dengan lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Jangan diheret rakyat dalam konflik perebutan kuasa dalam parti. Sepertimana Presiden Umno mahu menangguhkan pemilihan parti demi perpaduan dan kestabilan Umno, begitulah juga hasrat kerajaan pada hari ini untuk meletakkan kestabilan negara sebagai keutamaan tertinggi," katanya.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, masalah utama yang dihadapi oleh negara ketika ini melibatkan krisis ekonomi yang mana peningkatan inflasi semakin menghimpit rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya, Ahmad Zahid perlu memberikan sokongan tidak bersyarat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk beliau dan kabinetnya membawa negara ke tahap lebih tinggi.

"Beliau (Ahmad Zahid) seharusnya berikan fokus menggerakkan jentera Umno untuk bersama dengan Perdana Menteri dan kerajaan hari ini dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat, terutamanya aspek ekonomi yang menekan akhir-akhir ini.

"Saya juga ingin menyeru kepada semua Ahli Majlis Tertinggi Umno untuk menasihati Presiden mereka yang seringkali memberikan tekanan kepada Perdana Menteri untuk segerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Jangan dihancurkan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan parti-parti lain dalam kerajaan hanya untuk menyelamatkan diri sendiri," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram