Sebelum marah menteri, kena tahu siapa urus pertandingan — Faizal Azumu


  • Podium
  • Isnin, 13 Jun 2022

Ahmad Faizal Azumu berkata, keadaan padang SNBJ pada perlawanan Malaysia menentang Bahrain tempoh hari sudah dijawab dengan jelas oleh PSM bahawa sistem saliran stadium dalam keadaan baik. — Bernama

PENGGUNAAN lebih dari satu stadium boleh dilaksanakan bagi acara-acara perlawanan bola sepak peringkat antarabangsa sebagai langkah memastikan kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada dalam keadaan baik.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keadaan padang SNBJ pada perlawanan Malaysia menentang Bahrain tempoh hari sudah dijawab dengan jelas oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bahawa sistem saliran stadium dalam keadaan baik.

Menurutnya, bagi mengelakkan kejadian sama berulang, Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan serta PSM untuk menentukan venue perlawanan peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

"Semua sedia maklum bahawa pertandingan ini di uruskan oleh pihak AFC dengan kerjasama FAM, bukan Kementerian Belia dan Sukan, bukan PSM. Jadi rakyat kena faham itu dulu sebelum nak marah pada menteri.

"Mungkin kita boleh gunakan beberapa stadium untuk kejohanan seperti ini contohnya bagi perlawanan tidak melibatkan ramai penonton seperti Turkmenistan melawan Bangladesh, kita boleh gunakan stadium Kuala Lumpur. SNBJ boleh digunakan untuk perlawanan melibatkan pasukan negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Surau Al-Faizin, Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan, Ulu Kinta, Perak pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan terhadap kualiti padang SNBJ ketika pasukan negara menentang Bahrain pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengharapkan rakyat dan peminat bola sepak terus memberikan sokongan kepada pasukan negara biarpun berdepan kekalahan ke atas Bahrain tempoh hari.

Menurutnya, penjaga gol, Farizal Marlias tidak harus diberikan kecaman di atas kesilapan yang berlaku sebaliknya kekalahan Malaysia pada perlawanan tersebut perlu menjadi pengajaran berguna buat pemain negara.

"Pada saya, penjaga gol negara (Farizal) banyak berjasa kepada negara dan telah mendedikasikan hidupnya kepada sukan. Tentunya beliau tidak mahu gagal tetapi ia telah berlaku dan kita harap setiap kesilapan itu kita belajar, bukan kita tuding jari sehingga merosakkan beliau sebagai seorang atlet.

"Kita kena sentiasa beri sokongan. Jangan terlalu menuding jari sebaliknya belajar daripada kesilapan dan bangkit, bukan cari kesilapan dan mematikan semangat," ujarnya.

Pada perlawanan kelayakan Piala Asia pada Sabtu lalu, Malaysia tewas 1-2 di tangan Bahrain selepas mencipta kejutan menewaskan Turkmenistan di SNBJ 3-1.

Harimau Malaya akan berdepan Bangladesh dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang akan menentukan sama ada Malaysia layak ke Piala Asia 2023 atau sebaliknya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram