
SEBILANGAN besar dari kita menggunakan pelindung matahari atau sunscreen sebelum keluar dari rumah bagi mengelakkan kulit terbakar dan mengurangkan risiko kanser kulit.
Tetapi, tahukah anda bahawa anda juga mesti menggunakan pelindung matahari di dalam rumah?
Ahli dermatologi, Dr Jushya Sarin menekankan bahawa penggunaan pelindung matahari adalah penting meskipun seseorang berada di dalam rumah.
Beliau berkata, pelindung matahari melindungi kita daripada terkena pancaran matahari secara langsung, yang disebabkan oleh sinar UVB, iaitu sinar UV yang paling banyak menyebabkan kanser kulit.
"Namun jangan lupa sinar UVA juga menyumbang kepada penuaan dan kanser kulit, yang juga bakal terjadi sekiranya anda berada di dalam rumah,” katanya.
Jelasnya, sinar UVA mempunyai gelombang lebih panjang berbanding sinar UVB.
"Sinar ini mampu meresap jauh ke dalam kulit anda dan memecahkan kolagen sedia ada, yang juga penyebab utama kulit berkedut. Ia juga mampu memancar meskipun melalui tingkap dan awan," katanya.
Selain itu, katanya, kulit seseorang juga boleh rosak disebabkan cahaya biru yang dipancarkan melalui alat elektronik.
Kulit seseorang juga boleh rosak disebabkan cahaya biru yang dipancarkan melalui alat elektronik. — Gambar hiasan
Oleh kerana kebanyakan individu menghabiskan masa selama berjam-jam di hadapan komputer riba dan skrin mudah alih, pelindung matahari juga penting bagi melindungi kulit daripada cahaya tersebut.
"Meskipun cahaya ini tidak menyebabkan kulit terbakar seperti sinar matahari, namun ia menyebabkan kerosakan pada kulit.
"Cahaya yang datang daripada alat elektronik serta telefon pintar LED berkedip setelah anda mengambil foto akan meningkatkan pengoksidaan pada kulit sekali gus merosakkan sel," jelasnya.
Justeru, beliau mencadangkan orang ramai supaya memakai pelindung matahari spektrum luas serta serum antioksidan bagi mencegah pengoksidaan ketika berada di dalam rumah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram