Selamatkah membela memerang?


  • Hobi
  • Selasa, 10 Mei 2022

Tangkap layar video tular menunjukkan seekor memerang kelihatan jinak mendapat perhatian orang ramai di sebuah taman rekreasi di Sabah. — Facebook

TULAR satu video menunjukkan seekor memerang kelihatan jinak mendapat perhatian orang ramai di sebuah taman rekreasi di Sabah.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, disebabkan sifat memerang yang sentiasa mempertahankan kawasannya, ia boleh menyerang manusia.

"Memerang mempunyai gigi taring yang tajam. Untuk keselamatan, lebih baik jangan menyentuh atau memberi makan jika terserempak dengan haiwan ini.

"Memerang biasanya memakan haiwan akuatik seperti ikan, ketam dan katak," katanya.

Augustine memberi nasihat itu selepas video yang menunjukkan sekumpulan pengunjung taman membelai dan memberi makan memerang di Taman Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu menjadi tular di media sosial.

Video memerang kelihatan jinak yang tular di media sosial.

Beliau berkata, haiwan yang dirakam dalam video itu ialah memerang licin dan merupakan spesies yang dilindungi di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

"Memerang dalam video itu dipercayai merupakan haiwan peliharaan seseorang.

"Populasi memerang di Sabah setakat ini tidak diketahui, namun terdapat ancaman bagi spesies ini termasuk kekurangan habitat dan sumber makanan serta pemburuan haram.

"Biasanya ia dijumpai di kawasan sungai atau tasik dan haiwan ini penting sebagai petunjuk untuk habitat sungai atau tasik yang sihat," tambahnya.

Sehubungan itu, Augustine menegaskan bahawa perbuatan memberi makan, membelai atau mengganggu haiwan itu tidak digalakkan.

"Ini bagi mengelakkan daripada sebarang penularan penyakit dan untuk mengekalkan kesihatan serta kesejahteraan memerang," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram