Akibat hutang RM2,700, pemuda 22 tahun jadi mangsa rogol pengedar dadah


  • Benua
  • Rabu, 25 Mei 2022

Sebuah kereta dirampas polis kerana disyaki terlibat dalam jenayah dadah di Isle of Man. — Agensi

SEORANG pemuda malang dari Isle of Man diperkosa seorang pengedar dadah sebagai hukuman atas kegagalannya untuk membayar hutang berjumlah £500 (RM2,759).

Menurut laporan Daily Star, mangsa berusia 22 tahun itu diserang secara seksual di pulau tersebut yang dikawal oleh sekumpulan gengster yang sering memanipulasi golongan muda bagi aktiviti pengedaran dadah.

Butiran mengenai kes tersebut dikongsikan ketika sesi perbahasan di Parlimen Isle of Man, yang mendedahkan bahawa kumpulan-kumpulan dari Liverpool dan Merseyside di England menjadi ancaman terbesar buat masyarakat pulau itu.

Ahli Majlis Perundangan, Tanya August-Hanson mengesahkan kejadian tersebut sambil menambah bahawa suspek tidak didakwa oleh undang-undang kerana mangsa enggan memberikan kerjasama.

“Ya, seorang lelaki berusia 22 tahun dirogol oleh lelaki lain berumur 30 tahun disebabkan mangsa gagal membayar hutang yang berjumlah kurang £500 (RM2,759),” katanya.

0_Man-22-raped-by-his-dealer-on-island-controlled-by-Liverpool-drug-gangsThe-Isle-of-Man-Parliament (1)

Hutang dadah sering membelenggu keluarga dari kelas pertengahan di Isle of Man. — Agensi

Sementara itu, Ketua Konstabel dari Pasukan Konstabel Isle of Man, Gary Roberts berkata, keganasan itu berlaku akibat daripada keadaan ekonomi dadah di pulau itu yang disokong oleh kumpulan-kumpulan dari Merseyside.

“Kes rogol seumpama itu adalah situasi yang sering berlaku disebabkan oleh hutang dadah.

“Ia tidak berlaku kepada sebahagian kawasan di pulau ini sahaja. Keluarga-keluarga dari kelas pertengahan pernah mengalami isu-isu seperti ini.

“Kumpulan-kumpulan yang dikenali di Merseyside akan memanipulasi penjenayah di Isle of Man untuk menjual dadah bagi pihak mereka,” jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram