Amalan makan kurma, minyak zaitun ketika iftar mampu turun berat badan


  • Sihat
  • Jumaat, 29 Apr 2022

Ramai yang ingin menurunkan berat badan bagi kekal langsing dan anggun pada pagi raya. — Gambar hiasan

SELAIN beribadah, ramai yang menjadikan bulan Ramadan sebagai waktu terbaik untuk memulakan cara hidup sihat dengan berdiet dan menurunkan berat badan.

Apatah lagi, kaum wanita khususnya mahu tampil langsing dan anggun pada pagi raya.

Namun, setelah empat minggu berpuasa, mungkin masih ada lagi individu yang tidak dapat menurunkan berat badan seterusnya mendukacitakan mereka yang segelintirnya menghabiskan wang ringgit demi sepasang baju raya.

Berkongsi pengalaman pemakanannya, Dr Zubaidi Ahmad mendakwa, berat badan beliau menurun sebanyak lima kilogram selepas tiga minggu berpuasa.

Pengamal perubatan am itu menjelaskan, perubahan gaya hidup termasuk pemakanan adalah sangat penting dalam perspektif kesihatan.

Apabila seseorang berpuasa selama 14 hingga 16 jam, lemak mereka dibakar untuk menghasilkan tenaga, manakala makanan berlebihan akan menjadi lemak semula apabila mereka makan ketika berbuka puasa.

Justeru, beliau menyarankan orang ramai supaya berbuka dengan air kosong, kurma dan minyak zaitun sebagai salah satu tips menurunkan berat badan.

"Gabungan ketiga-tiga ini memberikan keseimbangan tenaga yang cepat diperolehi dengan tenaga yang lebih lama," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Dates

Kurma antara buah yang dapat memberi kepuasan sebelum seseorang makan makanan lebih berat. Gambar hiasan

Pada masa sama, beliau mengesyorkan orang ramai supaya makan buah-buahan seperti kurma, epal, jambu batu dan betik yang dapat memberikan kepuasan sebelum seseorang makan makanan yang lebih berat.

Malah, beliau juga mencadangkan supaya menghirup semangkuk kecil sup ayam.

"Kemudian boleh solat Maghrib dulu untuk perut kita memulakan tugas penghadaman dari makanan yang kita makan tadi.

"Selepas solat Maghrib, boleh makan hidangan yang lebih berat. Elakkan ambil terlalu banyak nasi.

"Ambillah protien dan sayur lebih banyak," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram