Purata jangka hayat sihat rakyat Malaysia hanya sekitar usia 65 tahun


  • Sihat
  • Rabu, 04 Mei 2022

Secara purata, rakyat Malaysia hidup dalam keadaan tidak sihat selama kira-kira 9.4 tahun sepanjang hayat mereka. — Gambar hiasan/Foto kredit: Filepic

KITA mungkin hidup lebih lama namun manusia juga menghabiskan kebanyakan jangka hayatnya dalam keadaan tidak sihat.

Menurut Kajian Beban Global Penyakit 2019, purata jangka hayat usia rakyat Malaysia ialah 75 tahun, namun purata jangka hayat sihat kita hanya 65.7 tahun.

"Jangka hayat sihat ialah bilangan tahun yang kita lalui dalam keadaan sihat.

"Ini sangat berbeza dengan jangka hayat usia iaitu panjang umur, yang pada kebanyakan orang adalah lanjutan tempoh keletihan yang berpanjangan daripada segi mental dan fizikal," kata Perunding Geriatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Dr. Shahrul Bahyah Kamaruzzaman.

Secara purata, tempoh hidup bersama penyakit adalah kira-kira 9.4 tahun bagi rakyat Malaysia.

Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat (AS) merekodkan 13.5 tahun (tertinggi antara 27 negara); 10.4 tahun di Singapura (tertinggi dalam kalangan negara Asean) dan 8.7 tahun di Vietnam serta Pakistan (terendah antara 27 negara).

Data hasil kajian menunjukkan jurang antara jangka hayat dan jangka hayat sihat semakin meningkat di seluruh dunia.

Ini termasuk Malaysia, di mana jurang itu meningkat sebanyak 4.3 peratus dari 1990 hingga 2019.

Korea Selatan mendahului senarai dengan peningkatan sebanyak 21.1 peratus, manakala Singapura meningkat sebanyak 16.5 peratus – yang paling tinggi dalam senarai negara Asean.

Filipina pula merekodkan peningkatan paling sedikit sebanyak 0.9 peratus.

Mengulas lanjut tentangnya, Prof Shahrul Bahyah berkata: "Terdapat banyak faktor yang terlibat,tetapi ia benar-benar berbalik kepada tingkah laku anda serta peluang yang anda ada sebelum mendapatkan kesihatan yang baik."

Jelasnya, peluang sedemikian termasuk infrastruktur fizikal yang ada, pendidikan atau kesedaran dan dasar negara.

Sementara itu, Profesor Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE) dalam bidang pemakanan serta dietetik Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Suzana Shahar menegaskan kemajuan dalam teknologi perubatan membolehkan manusia meningkatkan jangka hayat hidup.

"Namun ia tidak selari dengan usaha kita untuk menjaga kesihatan diri atau perhatian diberikan kepada pencegahan penyakit," katanya.

Dalam pada itu, bagi meningkatkan jangka hayat sihat, Shahrul Bahyah berkata, orang ramai perlu mengambil langkah ke arah penuaan yang sihat.

"Jika anda menganggapnya sebagai penuaan yang sihat, maka ia adalah pemikiran pada masa dahulu, yang mana anda menikmati kehidupan anda sehingga saat akhir.

"Maka, bukan hanya memikirkan berapa lama anda hidup namun kualiti hidup serta kesihatan yang perlu kita fokuskan.

"Konsep untuk melakukannya adalah meminimumkan, bergaul dan bergerak.

"Itu bermakna kita perlu meminimumkan risiko penyakit melalui tingkah laku dan polisi kita; meningkatkan hubungan sosial kita sepanjang hayat melalui pergaulan dan terus bergerak untuk mengekalkan fungsi fizikal kita," ujarnya.

Dalam pada itu, Suzana turut bersetuju bahawa ia adalah gabungan tanggungjawab individu dan polisi yang betul untuk mengekalkan gaya hidup sihat 'dari rahim ke kubur'.

Beberapa contoh polisi yang beliau cadangkan adalah inisiatif pengeluar makanan untuk merumuskan semula produk mereka supaya lebih sihat dan menerapkan gaya hidup sihat dalam kurikulum sekolah seperti di Australia serta Jepun.

Prof Shahrul Bahyah turut menegaskan masih belum terlambat untuk mula menjalani gaya hidup sihat.

"Terdapat satu kajian yang mengikuti kehidupan warga emas selama beberapa tahun dan mendapati bahawa mereka yang tidak aktif namun menjadi lebih aktif dalam jangka masa tertentu, menyaksikan pengurangan sebanyak 40 peratus kematian awal berbanding mereka yang tidak aktif.

"Apa sahaja yang kita makan, terdapat banyak kajian yang menunjukkan hubungan antara pemakanan sihat, pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran serta pengurangan risiko penyakit jantung, kanser dan kematian awal.

"Ia sememangnya perkara yang sangat jelas," menurutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram