KETIKA bersahur pada bulan Ramadan, orang ramai mungkin tercari-cari makanan yang mengenyangkan sehingga waktu berbuka pada hari sama.
Anda boleh memilih telur, kurma, sayur-sayuran, daging merah, ikan, beras perang, epal, avokado, barli atau muesli.
Tidak ketinggalan, anda juga boleh memilih oat yang juga merupakan antara hidangan sihat yang popular.
Terdapat banyak khasiat dalam oat antaranya karbohidrat kompleks dan serat yang membekalkan tenaga serta membuatkan kita kenyang dengan lebih lama.
Sekiranya oat terasa 'plain', anda boleh tambahkan buah-buahan atau kekacang supaya lebih sedap di samping memberi khasiat lebih.
Selain itu, ia juga dikatakan bagus untuk menurunkan kolestrol dalam darah.
Namun, Dr Zubaidi Ahmad berkata, tidak semua orang boleh mengambil bijiran oats sebagai makanan kerana ada sebahagian individu yang mengalami alahan terhadapnya.
Pakar kesihatan itu berkata, ini kerana mereka mempunyai alahan pada protein avenin yang ada pada oats.
"Jika kita mengambil bijirin oats dan mengalami sakit perut, cirit-birit dan juga keradangan kulit, kita mungkin mengalami alahan ini.
"Malah, gluten juga boleh menjadi penyebab alahan terhadap oats," katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Tambahnya, ada pendapat yang mengatakan bahawa bijirin oats tidak mempunyai gluten dalam komposisi mereka, tetapi memperoleh sebilangan bahan tersebut kerana proses pengeluarannya.
Katanya, biasanya oat ditanam di tempat yang sama dengan gandum ditanam dan disitulah berlakunya pencemaran gluten.
"Oleh itu, mereka yang mengalami penyakit celiac atau mengalami beberapa jenis alahan protein perlu sangat berhati-hati dengan pengambilan bijirin oats," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram