Bukan saja kaki dipotong, malah boleh buta angkara diabetes


  • Sihat
  • Rabu, 01 Dis 2021

PENGHIDAP diabetes yang tidak mengawal pemakanan dan gaya hidup berisiko tinggi menjadi buta. — Gambar hiasan/Agensi

KADAR individu yang menghidap diabetes dalam negara sebenarnya sangat membimbangkan.

Malah, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 merekodkan kira-kira 3.9 juta penduduk berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes.

Apa yang sering kita dengar, diabetes boleh mengakibatkan kaki seseorang itu dipotong jika penyakit itu tidak diberi rawatan awal.

Namun, apa yang tidak diketahui ramai ialah diabetes juga sebenarnya boleh menjadikan seseorang itu buta.

Menerusi artikel yang disunting oleh pakar perubatan, paras gula yang tinggi boleh menyebabkan saluran darah dibekalkan ke retina menjadi rosak.

"Terdapat tiga peringkat kerosakan di bahagian mata akibat diabetes iaitu pertama ialah Retinopati latar belakang iaitu benjolan kecil berkembang dalam saluran darah, yang mungkin menyebabkan pendarahan yang kecil tetapi biasanya tidak menjejaskan penglihatan anda.

"Peringkat kedua ialah Retinopati pra-proliferatif yang menyebabkan perubatan teruk dalam saluran darah hingga mengakibatkan pendarahan dalam mata.

"Peringkat ketiga ialah Retinopati proliferatif iaitu fasa di mana tisu parut serta saluran darah baharu, lemah dan mudah berdarah menjadi kembang hingga mengkibatkan kehilangan penglihatan," kata pakar perubatan.

Jelasnya, individu yang berisiko tinggi menjadi buta kerana diabetes adalah apabila bacaan gula dalam darah yang tinggi dan mempunyai tekanan darah tinggi.

Selain itu, individu yang mempunyai paras kolesterol yang tinggi dan hamil juga amat berisiko untuk mengalami buta kerana diabetes.

Namun, ada cara sebenarnya untuk seseorang itu mengelak daripada menjadi buta kerana diabetes, salah satunya ialah mengikut pelan pemakanan khusus bagi pesakit diabetes.

"Selain itu, penghidap diabetes juga perlu mengawal paras gula dalam darah, kawal tekanan darah, pastikan tiada sebarang perubahan pada mata dan berhenti merokok," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sihat, Buta, Mata, Hati, Diabetes,