Pelajar SPM maut dirempuh Proton Wira di Kuala Pilah


  • 112
  • Selasa, 30 Nov 2021

MANGSA yang juga pelajar SPM itu meninggal dunia di tempat kejadian. — Sinar Harian

PELAJAR 17 tahun maut dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Selasa.

Shah Iskandar Nor Haszemi, 17, meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan di Kilometer 24 Jalan Seremban-Kuala Pilah, Kampung Gedang, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, mangsa yang menunggang motosikal terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Proton Wira dari arah Kuala Pilah menghala ke Seremban.

"Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sawah Liat, namun dari arah belakang telah melanggar bahagian pintu hadapan Proton Wira yang bergerak di laluan sama.

"Ketika itu kereta terbabit sedang membelok ke kanan jalan untuk masuk ke simpang Kampung Gedang," kata Amran.

Insiden yang berlaku dalam dua petang itu mengakibatkan mangsa cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram