MIMPI buruk setiap malam termasuk bermimpi ular, bayi serta menyusukan bayi tersebut merupakan antara tanda-tanda seseorang disihir.
Menerusi laman TikTok @SyiraJamal, dia yang mendakwa pernah disihir berkata, antara tanda lain yang mula dialaminya adalah pening tanpa sebab, jantung berdegup laju dan takut apabila mendengar ayat Ruqyah.
Selain itu, katanya, dia juga kerap sesak nafas pada waktu malam, sentiasa ada yang memerhati, terjumpa bulu dan rambut di mana-mana termasuk pada makanan dan minuman.
"Rahim juga sakit seperti dicucuk-cucuk pisau, malah saya juga kerap meminta cerai apabila marah dan kerap bermimpi pasangan curang.
"Selain itu, saya terasa seperti sesuatu yang banyak berjalan-jalan di dalam badan, timbul perasaan curiga dan dan cemburu yang kuat, serta sentiasa dengar bunyi jatuh dari bumbung rumah.
"Saya juga sukar solat khusyuk dan mengaji, rasa nak pengsan setiap hari, sakit pada urat belikat, dan apabila saya periksa di hospital, mereka kata tiada masalah," katanya.
Mengulas perkara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, berdosa besar dan haram hukumnya apabila seseorang mengamalkan sihir.
Abdul Rahman berkata, perbuatan itu dilarang dalam Islam kerana berkait rapat dengan persahabatan dan meminta bantuan daripada makhluk halus iaitu jin dan syaitan.
"Dan sihir memang sesuatu yang boleh memudaratkan dan boleh merosakkan seseorang. Sebab itu ia dilarang agama dan hukumnya haram," katanya kepada Majoriti.
Tambahan pula, katanya, individu yang terkena perbuatan sihir sukar diubati dan dipulihkan melainkan dengan bacaan yang diamalkan bagi merawat pesakit.
"Amalan ayat-ayat al-Quran daripada mereka yang belajar (ilmu merawat sihir) antara yang boleh digunakan untuk memutuskan sihir daripada seseorang.
"Sihir adalah antara dosa besar di antara dosa-dosa besar dan diingatkan supaya bertaubat kepada ALLAH SWT agar tidak merosakkan seseorang," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram