Dua kali nyaris maut angkara Mustang 'makan jalan' di Kuala Krai


  • Tular
  • Selasa, 30 Nov 2021

NAHAS membabitkan sebuah kereta dan sebuah lori di Kampung Bunut, Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, Kelantan tular pada petang Selasa. — Facebook

SEORANG penunggang motosikal masih lagi dipanjangkan umur apabila dua kali terselamat daripada sebuah nahas, membabitkan sebuah lori dan sebuah kereta mewah di Kampung Bunut, Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, Kelantan pada Selasa.

Rakaman kamera perakam video atau dashcam yang dikongsikan menerusi laman Facebook Info Dalam Kuala Krai itu memaparkan, penunggang motosikal berkenaan pada mulanya mengekori belakang sebuah lori dan cuba memotong kenderaan berat itu.

Beberapa saat kemudian, penunggang itu kelihatan membelok motornya ke kiri sebelum muncul sebuah kereta Ford Mustang dari arah bertentangan yang bertindak 'memakan jalan' lalu melanggar lori berkenaan.

Tidak setakat itu, penunggang itu sekali lagi bernasib baik apabila tidak dirempuh lori berkenaan yang secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke arah jalan bertentangan.

Berdasarkan maklumat awal, kesemua mangsa yang terlibat dalam nahas itu dilaporkan selamat.

Nahas itu turut menimbulkan persoalan tentang punca kejadian sama ada perlu dipersalahkan kepada pemandu lori atau kereta mewah terbabit.

Pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ford Mustang, lori, motosikal, kemalangan