Syor jadikan VTL Malaysia-Singapura indikasi pantau varian Omicron


  • Massa
  • Rabu, 01 Dis 2021

SEBAHAGIAN penumpang pesawat Singapore Airlines SQ108 dari Singapura yang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menerusi VTL udara pada Isnin. — Bernama

PERJALANAN Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura boleh menjadi kayu pengukur bagi memantau penularan varian Omicron yang kini aktif di negara-negara Afrika.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, VTL antara kedua-dua negara itu boleh menjadi pelopor kepada kerjasama bersama negara-negara lain pada masa akan datang.

"Walaupun ketika ini terdapat varian Omicron yang dikatakan bahaya, selagi kita mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan, ia tidak menjadi masalah.

"Setakat ini varian Omicron masih tidak terdapat di Singapura, jadi tidak menjadi masalah untuk kita meneruskan VTL dengan mereka.

"Jika satu hari nanti, varian tersebut muncul di negara berkenaan, barulah kita perlu menukar SOP baharu bagi mengelakkan penularan varian tersebut di negara kita," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, SOP VTL sedia ada ketika ini dilihat sudah cukup ketat dengan penumpang harus menjalani ujian di kedua-dua negara sebelum dibenarkan masuk.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun terdapat satu kes positif Covid-19 dikesan pada hari pertama pelaksanaan VTL antara Malaysia dan Singapura, itu tidak bermakna ia harus dimansuhkan.

Katanya, jumlah kes positif yang sedikit boleh dianggap sebagai kes terpencil dan tidak perlu menekan butang panik.

Cuma, tegasnya, mereka yang disahkan positif harus diwajibkan untuk menjalani kuarantin.

"Kita memang tak boleh nak tunggu kes sifar baru nak laksanakan kelonggaran perjalanan seperti VTL, nak tunggu kes sifar itu agak lama.

"Setakat dua tiga kes itu kita boleh anggapnya sebagai kes terpencil saja," jelasnya.

Mengenai perancangan kerajaan untuk meluaskan pelaksanaan VTL dengan Indonesia, Zainal Ariffin berkata, perkara itu harus difikirkan setelah melihat kejayaan VTL dengan Singapura, selain keadaan Covid-19 di negara ini terlebih dahulu terutamanya dengan penganjuran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember depan.

"Tidak perlu tergesa-gesa, kita mulakan secara beransur-ansur. Jika VTL bersama Singapura berjaya, baru kita intai negara lain pula," katanya.

Terdahulu pada Selasa, Singapura akan mempertingkat protokol ujiannya untuk pengembara yang tiba di republik itu mulai Jumaat (3 Disember) termasuk melalui VTL udara sebagai langkah tambahan untuk mengesan dan membendung varian Omicron.

Semua pengembara menerusi VTL udara yang tiba selepas tarikh dan masa ditetapkan tamat, perlu menjalani Ujian Pantas Antigen (ART) kendiri di Pusat Ujian Pantas Antigen pada hari ke-3 dan ke-7 ketibaan.

Menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) mengenai Covid-19 republik itu, bagi peringkat pertama langkah tersebut akan dilaksanakan selama empat minggu dan akan disemak dan dilanjutkan jika perlu.

Pengerusi bersama MTF, Gan Kim Yong berkata, langkah itu bagaimanapun tidak melibatkan VTL-Land (darat) dengan Malaysia.

Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Industri republik itu berkata, ini kerana risiko jangkitan import melalui skim VTL darat sudah dikurangkan menerusi sekatan perjalanan yang dikenakan Malaysia ke atas negara dan wilayah yang terjejas oleh Omicron.

Malaysia dan Singapura melancarkan VTL udara, dan darat bermula Isnin (29 November). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram