4,879 kes baharu direkod pada Selasa


  • Primer
  • Selasa, 30 Nov 2021

KESELURUHAN jangkitan meningkat kepada 2,632,782 kes.

SEBANYAK 4,879 kes baharu Covid-19 direkodkan pada Selasa, naik sedikit berbanding 4,087 kes yang dicatatkan pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan di Facebook berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini kepada 2,632,782 kes setakat ini.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu yang direkodkan itu, 4,855 merupakan kes jangkitan tempatan melibatkan 4,678 warganegara, manakala baki 177 adalah kes membabitkan bukan warganegara.

"Daripada 4,879 kes baharu yang direkodkan, hanya 79 merupakan kategori tiga, empat dan lima manakala 4,800 kes adalah kategori satu dan dua," katanya.

Noor Hisham berkata, kes sembuh pula mencatat 5,168 kes menjadikan keseluruhan kes yang telah pulih adalah 2,537, 204.

Beliau berkata, sebanyak 394 kes disahkan pesakit Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 172 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak sembilan lagi kluster baharu dikesan pada Selasa dengan terdapat 231 kluster masih aktif di seluruh negara.

Maklumat terperinci lain berkaitan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman sesawang Covidnow di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram