'Tinggalkan Diriku' cecah sejuta dalam dua hari, ramai mengalir air mata


  • Hiburan
  • Isnin, 29 Nov 2021

SHUIB bersama dengan anak-anaknya.

DALAM masa dua hari sahaja lagu berjudul Tinggalkan Diriku dimuat naik di akaun YouTube Shuib Channel, jumlah tontonan video klip itu sudah melebihi satu juta.

Malah, ruangan komen video tersebut turut dipenuhi dengan perkongsian rasa sedih hingga mengalirkan air mata apabila mendengar lagu itu.

SHUIBBBBBB

ANTARA komen yang ditinggalkan di muzik video lagu Tinggalkan Diriku.

Menurut Shuib yang juga suami kepada arwah Siti Sarah, dia mendengar semula lagu itu enam hari selepas arwah meninggalkannya.

"Lagu itu dirakamkan ketika sesti latihan untuk showcase Siti Sarah yang diadakan pada 2018.

"Rasa sebak, hiba dan segala rasa hadir tatkala mendengarkan semula lagu itu. Cara penyampaian Siti Sarah begitu berbeza dan istimewa sekali seakan sudah tahu apa yang bakal terjadi nanti.

"Bait-bait lirik yang cukup indah begitu dirasakan sekarang," katanya kepada Majoriti.

Disebabkan itu juga, Shuib mengabadikan lagu Tinggalkan Diriku yang dicipta oleh Aidit Alfian ke dalam sebuah video muzik (MV) sebagai tanda cinta kepada bidadari syurganya.

Di dalam lagu itu juga Shuib menyelitkan perbualan terakhirnya antaranya dengan arwah isteri.

"Dalam MV ini saya selitkan perbualan akhir bersama Siti Sarah untuk memberikan kata-kata semangat dan memujuk arwah untuk ‘ditidurkan’.

"Ini adalah momen paling sukar dalam hidup saya sebagai seorang suami dan bapa kepada anak-anak. Perbualan tersebut adalah tanda pengorbanan besar seorang ibu yang bertarung nyawa untuk melahirkan anak," kata Shuib.

Untuk rekod, arwah Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos lalu selepas dijangkiti Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram