PERNAH ditegur kenapa masih pakai Perodua Kelisa walaupun sudah bergelar artis popular dan meraih pelbagai trofi sebagai anak seni.
Itu pengalaman yang dikongsikan Yana Samsudin dan menurutnya, ada sebab mengapa perkara itu terjadi.
"Sebenarnya sebelum itu memang ayah ada pesan, kalau nak kahwin, saya kena ada RM200,000 dalam bank.
"Sebab itu saya pakai kereta Kelisa sampai ada rakan artis yang tegur. Sedangkan sebab sebenarnya saya mahu simpan duit dan beri keutamaan untuk belanja keluarga dahulu.
"Malah saya bangga ketika di umur 30 tahun, saya sudah belikan rumah lima bilik dan empat bilik air unutk keluarga.
"Bila dah rasa lengkap semua untuk keluarga, selepas umur 30 itu baru saya fikir nak beli apa yang saya inginkan," katanya.
Yana berkongsi kisah tersebut ketika sesi Instagram Live bersama penggiat seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru-baru ini.
Sesi itu diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember ini di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Menurut Yana, disebabkan itu juga dia pernah menolak lamaran suaminya, Fadzil Zahari ketika lelaki itu hadir merisiknya.
"Masa itu saya fikir nak berikan keselesaan dan bantu keluarga terlebih dahulu.
"Tetapi selepas semuanya selesai, barulah saya sedia untuk memikirkan perkara seterusnya dalam kehidupan," katanya.
Yana dan Fadzil mendirikan rumah tangga pada 13 Februari 2015 dan kini dikurniakan dua orang anak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram