Tiada lagi Amy, Search rakam semula lagu guna penyanyi lain


  • Hiburan
  • Jumaat, 19 Nov 2021

NOORDIN dan Kid kini cuma berdua mengemudi Search untuk album seterusnya.
VOKALIS kumpulan Search sebelum ini, Amy sudah memaklumkan yang dia tidak lagi menganggotai kumpulan rock tersebut.

Tidak hairanlah, ramai peminat yang terpinga-pinga mengenai keputusan yang dibuat Amy itu apatah lagi setelah sekian lama bersama kumpulan yang dianggap sebagai legenda dalam genre rock tempatan.

Namun bagi pemain gitar Search, Noordin dan Kid, senario itu tidak menjadi halangan untuk mereka terus berkarya dan memberikan sesuatu yang baharu pada peminat.

"Pada Mac 2020, Amy secara rasmi mengumumkan dia berundur dari Search untuk memberi peluang kepada anggota Search yang lain meneruskan aktiviti kumpulan ini.

"Proses remastered semua lagu ini kami lakukan mengikut prosedur yang betul. Lagipun saya dan Kid ada hak kerana hari ini kami masih anggota Search,” katanya.

Menurut Noordin, dia juga merancang untuk merakam semula lagu-lagu Search pada masa akan datang dengan menggunakan khidmat penyanyi dan pemain bes yang lain.

Ditanya mengenai pemilihan lagu-lagu ini, Noordin berkata, semuanya menampilkan sound dan teknik permainan gitar terbaik yang pernah dia dan Kid rakamkan dalam album-album Search.

“Ia adalah rakaman gitar terbaik daripada kami berdua. Ia dari segi teknik, sound dan solo gitar,” katanya.

Dalam pada itu, Noordin berkata, buat masa ini mereka sudah pun tampil dengan sebuah album berjudul Rockology Search : Kid’Din Collection Series.

Menariknya, album tersebut menampilkan 17 barangan istimewa yang merupakan cenderahati Search.

Dalam pada itu, penerbit dan pemilik Home Of Champions, Mozylir Mokhtaruddin berkata, idea menghasilkan Rockology Search : Kid’Din Collection Series ini diilhamkan Noordin ketika situasi penularan Covid-19 di negara ini dalam keadaan membimbangkan.

"Ketika itu konsert dan persembahan Search ditunda dan dibatalkan berikutan penularan Covid-19.

"Selepas mengambil kira beberapa faktor, saya, Noordin dan Kid sebulat suara untuk mengeluarkan kompilasi lagu berat dan ballad terbaik yang dipilih sendiri oleh Noordin dan Kid.

"Ia dihasilkan khas dalam bentuk boxset bersama 17 barangan istimewa khas buat peminat Search,” katanya.

Rockology Search : Kid’Din Collection Series hanya dikeluarkan sebanyak 500 unit dan mula dijual secara dalam talian mulai 17 November 2021 dengan harga RM299.

Ia boleh dibeli di laman web www.fenomenasearch.com, Facebook Home Of Champions, Instagram @homeofchampions.store atau WhatsApp 016-2704544. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Search, Amy, Kid, Noordin, Rock