ZAMAN teknologi kini, sesiapa pun boleh menggunakan platform digital untuk meluahkan pendapat mereka secara terbuka kepada orang ramai.
Sebelum ketibaan era media sosial, kritikan filem dilakukan oleh seorang yang sangat pakar dan cukup disegani dalam bidang seni.
Tetapi kini, menerusi pelbagai platform yang terbuka termasuk YouTube, sesiapa sahaja boleh mengkritik sesebuah filem sehingga menimbulkan rasa tidak senang terhadap penggiat seni.
Mengakui perkara tersebut, pengarah terkenal, Syamsul Yusof, 37, memaklumkan ada beza sebenarnya memaki sesebuah filem dan mengkritik sesebuah filem.
"Memang betul, sesiapa pun boleh mengkritik filem. Sama ada YouTube atau pun apa sahaja platform lain.
"Tapi yang pening kena ada ilmu dan bukan nak menghina. Nak kritik filem boleh tetapi biar nampak bijak.
"Saya bersikap terbuka kerana kita memang tidak boleh puaskan hati semua orang. Cuma kena kuatkan mental dan fokus pada kerja yang dilakukan," katanya.
Syamsul berkata demikian dalam sesi Instagram (IG) Live menerusi topik Persediaan Menjadi Pengarah Tanpa Gagal pada Rabu.
IG Live Bersama Penggiat Seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang bakal berlangsung pada 10 Disember ini.
Untuk rekod, Syamsul adalah pemenang Pengarah Terbaik paling muda pernah memenangi anugerah Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM 23) iaitu pada usia 25 tahun menerusi filem Evolusi KL Drift 2.
SYAMSUL bersama isteri, Puteri Sarah dan dua orang anaknya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perihal rumah tangganya yang satu ketika pernah menjadi bualan hangat peminat, Syamsul berharap supaya semua dapat mendaoakan yang terbaik.
"Saya ingatkan yang bila kita dah berkahwin, kehidupan akan lebih rileks. Tetapi cabaran dan tanggungjawab sebenarnya lebih besar.
"Apa yang kita perlu buat adalah untuk mencuba yang terbaik dan berdoa yang terbaik untuk keluarga," katanya.
Untuk rekod, rumah tangga Syamsul dikatakan goyah pada September lalu apabila kelibat isterinya, Puteri Sarah dilihat berada di mahkamah.
Namun, Syamsul yang juga bapa kepada dua orang anak iaitu Syaikhul Islam, 4, dan Summayah, 2, memberitahu yang mereka sedang dalam proses memperbaiki hubungan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram