HIDUP menyendiri selepas bercerai pada 2010, Maya Karin mengakui ada beberapa lelaki yang sedang cuba mendekatinya kini.
Mendedahkan perkara itu, menurut Maya, ada tiga ke empat lelaki yang sedang cuba mendekati dirinya termasuk lelaki dari Australia.
"Buat masa ini memang ada la tiga ke empat calon lelaki tempatan yang saya sedang kenal.
"Tetapi untuk ketika ini, saya lebih selesa untuk menumpukan perhatian kepada kerja dahulu.
"Lagipun ada teater dan beberapa karya seni yang sedang saya fokus dan itu menjadi keutamaan saya dahulu," katanya.
Untuk rekod, Maya sebelum ini berkahwin dengan lelaki Itali, Muhammad Ali atau nama sebenarnya Steven David Shorthose sebelum bercerai talak satu.
Maya berkata demikian dalam sesi IG Live bersama penggiat seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem (FINAS).
Sesi itu diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember depan.
Dalam pada itu, Maya yang juga merupakan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) sebanyak dua kali itu juga sempat berkongsi mengenai kisah mengenai rasa bimbang melampau (anxiety disorder) yang dihadapiya.
Menurut Maya, disebabkan perasaannya itu, dia gagal mendapatkan dua watak dalam teater muzikal Puteri Gunung Ledang dan filem Crazy Rich Asian.
"Masa itu untuk kedua-dua sesi ujibakat itu memang saya gagal lakukan yang terbaik disebabkan anxiety. Tangan saya menggigil dan jadi berpeluh.
"Tetapi itu selepas lapan tahun, saya kini sudah boleh mengawal anxiety tersebut selepas mendapatkan nasihat daripada doktor," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram